Trauma kena kongkong masih basah – Erin CTJ

BERTAPAK dalam industri hiburan pada usia muda pastinya memberikan cabaran berbeza buat anak seni.

Itu lumrah hidup penyanyi mahupun pelakon, lebih-lebih lagi ketika diri masih keliru dengan situasi serba asing dalam usaha melonjakkan nama. 

Senario sama dilalui penyanyi Erin CTJ, yang mengakui pernah ‘terpedaya dengan janji sebuah syarikat rakaman ketika awal pembabitan sebelum  dilamar Rusa Music. 

Menyertai label baharu ternyata satu pilihan tepat apabila laluannya sebagai anak seni makin terbuka luas. 

Begitupun, Erin tidak dapat melupakan peristiwa hitam bersama pengurusan lama yang sama sekali tidak membantu perkembangan kariernya.

“Pernah ketika berusia 13 tahun, saya menyertai sebuah label dan rasa sangat tertekan kerana terlalu dikongkong sehingga pergerakan pun terbatas, 

“Saya tidak boleh melakukan persembahan luar dan hanya dibenarkan mempromosikan label dan artis mereka sahaja. 

“Selepas enam bulan saya akhirnya tarik diri demi kebaikan karier,” katanya kepada HibGlam. 

Meski diuji, Erin tidak pernah berputus asa dan sedia mengambil risiko menyambut tawaran Rusa Music. 

“Disebabkan kejadian itu, saya ambil masa untuk masuk label seterusnya. Masih ada rasa ragu-ragu dan trauma dengan pengalaman lalu. 

“Saya cuba mempercayai Rusa Music kerana mereka label besar dan aktif mempromosikan artis baharu. 

“Apa yang membuatkan saya lagi kagum adalah mereka tidak hanya fokus artis senior sebaliknya memberi layanan yang sama kepada orang baharu,” ujarnya lagi. 

Ditebak mengenai perubahan ketara kariernya, pelantun lagu Pujuk Hati itu mengakui terharu apabila namanya semakin dikenali selepas bernaung di bawah Rusa Music. 

“Sekarang sudah masuk lima tahun saya bersama Rusa Music dan saya nampak perubahan dalam karier yang mana orang ramai mula nampak kewujudan saya. 

“Label juga memberikan perhatian kepada saya seperti menghasilkan lagu dan usaha melonjakkan nama dalam industri.  

“Bagi saya ini peluang yang berbaloi. Selepas bersama Rusa Music, selain nyanyian saya juga didedahkan dengan dunia lakonan,” jelas si cantik berusia 21 tahun itu. 

Drama, filem

Tidak hanya boleh menyanyi dengan baik, siapa sangka Erin berbakat sebagai pelakon apabila rancak memenuhi tawaran menjayakan drama dan filem. 

BIARPUN aktif dalam dunia lakonan, Erin akui lebih menyukai bidang nyanyian.

Meski jiwanya lebih kepada bidang nyanyian, dia tidak betah menolak tawaran berlakon yang mampu meningkatkan skilnya sebagai anak seni. 

“Saya menjayakan tiga filem tahun lepas iaitu Hantu Bertenggek, Syaitan Munafik dan Sumpahan Malam Raya selain terlibat dalam tiga drama yang satu daripadanya bakal memulakan pengambaran dalam masa terdekat.  

“Kalau ikutkan, jiwa saya lebih menyukai bidang nyanyian tetapi saya tidak boleh menolak apa jua rezeki yang hadir. Lagipun, menerusi lakonan saya belajar untuk elak jadi ‘introvert’. 

“Sebagai penyanyi pula, setakat ini saya sudah ada sembilan single. Saya akan terus berusaha sehingga diiktiraf sebagai penghibur,” bicaranya dalam nada teruja. 

Tukar nama 

Erin juga tidak ketinggalan berkongsi hasrat menukar nama pentasnya kepada Erin Syaheera.

“Saya ada terfikir untuk tukar nama kepada Erin Syaheera. Ibu pun ada cakap benda sama kerana kami rasa pembawaan nama Erin CTJ sangat berat. 

“CTJ dalam nama saya merupakah gabungan nama ibu abah iaitu Siti dan Jamaluddin. Jadi, saya rasa berat untuk memikul tanggungjawab tersebut. 

“Risau kalau ada terbuat salah, nama ibu abah akan terpalit.

“Apa pun, saya masih lagi mempertimbangkan perkara ini,” ujarnya. 

Sambung Erin, dia ada menyuarakan keinginan itu kepada syarikat rakaman bagi mendapatkan nasihat. 

“Saya sudah suarakan kepada pihak pengurus untuk tukar nama tetapi mereka nasihatkan habiskan kontrak terlebih dahulu.

“Saya sendiri mahu tampil dengan imej baharu. Saya muda lagi, kalau nak tukar nama baik buat sekarang. 

“Terfikir juga nak kekalkan nama Erin CTJ sebagai penyanyi manakala Erin Syaheera pula untuk karier lakonan. Tengoklah macam mana nanti,” katanya. 

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok