CINTA terhadap sukan lasak menderas dalam degup jantung pengacara juga pelakon cantik, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan.
Buktinya, tubuh genit wanita kelahiran Illinois, Amerika Syarikat itu sudah pernah menawan puncak Gunung Kinabalu dan bersaing dalam maraton nun jauh di New Zealand.
Berperwatakan lembut, namun satu per satu pencapaian peribadi personaliti popular berusia 29 tahun itu menyerlahkan kekuatan semangat dan mentalnya melawan cabaran fizikal.
Bukan calang-calang wanita mampu merealisasikan impian terutama membabitkan aktiviti ekstrem yang memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan komitmen kewangan.
Bagi si manis yang selesa disapa Hawa itu, kecenderungan terhadap aktiviti lasak yang dianggap sebagai riadah sampingan adalah medan melepaskan tekanan selepas penat waktu kerja.
“Saya juga cenderung dengan sukan berbasikal, selain beberapa aktiviti lasak lain sebagai riadah serta melebarkan lagi komunikasi dengan ramai orang,” katanya membuka bicara.
Begitupun, kehadiran Ramadan membuatkan pengacara program hiburan, MeleTOP itu memperlahankan rentak ‘luar’ bagi menghabiskan masa bersama keluarga tersayang.
Katanya, berbeza bulan puasa tahun lalu yang memerlukannya berada di set penggambaran, kali ini waktunya lebih banyak di rumah selepas tamat bekerja.
“Ikutkan sepanjang bulan puasa, saya akan solat tarawih dengan keluarga baik di rumah atau di masjid tapi tahun lepas saya terlepas peluang bersama keluarga disebabkan terikat dengan penggambaran.
“Masa itu memang terasa rindu nak bersama keluarga kerana perasaan tarawih tanpa mereka lain sedikit.
“Apa pun, kali ini saya cuba pastikan kami sempat berbuka atau bersahur bersama,” ujarnya.
Sebagai anak tunggal perempuan daripada tiga bersaudara, dia dan ibu menjadi regu yang sempurna, terutama membabitkan topik juadah berbuka mahupun lokasi persediaan Syawal.
Pembantu cef
Hawa mendedahkan, kebiasaannya tugasan di dapur diserahkan kepada bonda tercinta yang mempunyai kepakaran tersendiri.
“Mak saya memang bab memasak nombor satu terutama nasi ulam dan masak asam keladi yang menjadi kepakarannya apabila turut disukai ramai terutama saudara mara terdekat kami.
“Saya sekadar jadi pembantu cef sahaja, bukanlah langsung tak boleh memasak, cuma setakat buat juadah mudah macam masak lemak tiada masalah.
“Setakat ini memang kami banyak masak sendiri sebab dapat puaskan hati terutama mencuba resipi baharu,” kongsinya sambil tersenyum.
Menurut Hawa lagi, menjelang sambutan Syawal yang berbaki sekitar seminggu sahaja lagi, persiapan mereka sekeluarga sekadar bersederhana.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.