‘Tiada perancangan menemukan anak dengan Aliff’

TIDAK ada apa pun yang terkurang meski menyambut lebaran tanpa suami di sisi bahkan penyanyi Bella Astillah gembira meraikan hari kebesaran itu bersama anak-anak.

Ujar Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabeela Awang Astillah, 30, permata hatinya, Ayden Aderean,7 dan Ara Adreana, 4, juga tidak bertanya keberadaan Aliff Aziz memandangnya mereka lebih rapat dengannya.

“Setakat ini Ayden dan Ara tiada apa-apa masalah sebab mereka rapat dengan Bella, mereka juga tidak bertanya apa-apa tentang Aliff.

Saya sendiri alihkan perhatian mereka dengan bermain bunga api dan buat pelbagai aktiviti menyeronokkan.

“Lagipun ramai kawan-kawan saya datang rumah bagi duit raya, buat mereka lagi gembira,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ditanya sama ada cahaya matanya berkesempatan berjumpa mahupun berhubung dengan Aliff, pelakon drama Aku Tanpa Cintamu itu tiada perancangan berbuat demikian memandangkan dia dan suaminya tidak lagi berhubung sejak menfailkan perceraian bulan lalu.

Mereka tidak berkesempatan lagi raya dengan bapa mereka, dan tiada perancangan untuk menemukan mereka sebab kami langsung tak berhubung.

“Saya sendiri pun tak pasti Aliff ada menghubungi keluarga atau tidak. Anak-anak gembira sahaja, lagipun mereka juga rapat dengan datuk dan nenek mereka.

“Lepas ke mahkamah, saya memang tak jumpa mahupun berhubung dengan dia. Bukan tidak mahu bertemu tapi belum ada kesempatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, NurJiwa Foundation, petang kelmarin.

Kemelut rumah tangga Bella dan Aliff sampai ke kemuncaknya selepas lelaki itu ditangkap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bersama pelakon, Ruhainies pada 9 Mac lalu.

Bella kemudian memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, pelakon asal Singapura itu enggan melafazkan talak pada sebutan kes cerai dihadapan Hakim di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 4 April lalu.

Mahkamah menetapkan 4 Jun depan sebagai tarikh bagi laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok