SAMBUTAN Aidilfitri kumpulan yang dianggotai tiga pucuk muda, The Gadys tahun ini mungkin sedikit berbeza, berbanding sebelumnya.
Tular dek kontroversi nyanyian dikritik teruk, kumpulan yang dianggotai Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamira Chan itu semakin meniti populariti, bahkan tidak menang tangan memenuhi jemputan membuat persembahan pentas.
Dek kesibukan kerja, The Gadys harus berkorban apabila terpaksa menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur sahaja kerana tidak dapat pulang beraya di kampung masing-masing.
Untungnya buat Aznie, 26, yang berasal dari Alor Setar, Kedah, dia tidak keseorangan apabila keluarganya menyambut hari raya di ibu kota bersama-sama dengannya.
Saya asal Alor Setar, Kedah. Tapi tahun ini sambut hari raya di Kuala Lumpur sahaja. Keluarga juga akan beraya di sini. Tahun ini tidak dapat balik ke kampung kerana perlu bekerja,” katanya.
Begitu juga dengan anggota berkulit hitam manis, Ayunie Rizal, 24, yang juga tidak pulang beraya ke kampungnya di Bentong, Pahang.
Sama seperti Aznie, tahun ini saya menyambut Aidilfitri di Selangor sahaja bersama keluarga.
“Tidak mengapa, asalkan keluarga ada bersama-sama dengan saya,” katanya.
Anggota paling bongsu, Thamiera, 21, juga tidak terkecuali.
Wanita berasal dari Sabah itu berkata, memang sejak kecil lagi dia dan keluarga telah berpindah dan menetap di Kuala Lumpur.
Jadi boleh dikatakan hampir setiap tahun, dia akan menyambut lebaran di ibu kota sahaja.
Saya pula asal dari Sabah. Tapi setiap tahun memang beraya di sini (Kuala Lumpur).
“Jarang juga sebenarnya balik ke Sabah. Mungkin lima tahun sekali saya dan keluarga akan pulang beraya di sana,” jelas Thamiera.
Biarpun telah bergelar artis, Aznie, Ayunie dan Thamiera tidak menjadikan kerjaya mereka sebagai ‘tiket’ untuk boros ketika berbelanja.
Kata Aznie dan Ayunie, mereka hanya berbelanja untuk diri sendiri dengan membeli keperluan menyambut lebaran, selain menyediakan duit raya untuk diberikan kepada sanak-saudara.
Kami berbelanja untuk diri sendiri sahaja. Contohnya untuk membeli baju, kasut, alat solek dan paling penting duit raya.
“Kalau berbelanja untuk keluarga pun, sekadar membeli beberapa jenis kuih raya. Pada masa sama, kami juga tidak lupakan duit raya untuk diberikan kepada kanak-kanak nanti,” ujar Aznie dan Ayunie yang masing-masing menggayakan baju raya dengan tema kuning dan putih kali ini.
Sebagai anggota paling muda, Thamiera pula tidak berbelanja secara berlebihan, malah dia sendiri masih mengumpul duit raya.
“Saya pun begitu juga. Tak banyak berbelanja untuk raya, malah saya sendiri yang akan kutip duit raya,” jelasnya yang memilih tema warna merah jambu raya tahun ini. – HIBGLAM