PELAKON Remy Ishak menegaskan karier seninya tidak pernah ‘terancam’ dengan lambakan bakat-bakat baharu hari ini.
Menurut Remy, 41, perasaan tergugat tidak pernah ada dalam kamus dirinya apatah lagi ingin bersaing antara satu sama lain kerana menganggap mereka berada pada kelas berbeza.
“Saya ambil contoh macam permainan bola sepak, ada Liga Malaysia ada Liga Super. Jadi, kami dalam liga yang berbeza, untuk apa kami mahu bersaing.
“Rasa terancam atau sebagainya tidak ada langsung, hakikatnya kehadiran generasi baharu ini yang akan menggantikan bakat lama. Saya dulu pun begitu juga, proses itu memang ada,” katanya.
Dalam pada itu, dia berkata barisan pelakon muda pada hari ini layak untuk meraih pendapatan mahal kerana mempunyai permintaan tinggi daripada penonton.
Sekiranya nama-nama seperti Mierul Aiman, Nadhir Nasar dan Amir Ahnaf mendapat permintaan yang tinggi, memang wajar kerana sekarang zaman mereka.
“Saya pula ada level saya sendiri, mungkin sekarang lebih ke arah filem, platform penstriman atau OTT (over the top) dan sebagainya.
Fasa itu memang ada kerana takkanlah saya nak jadi hero sampai umur 50 tahun?” katanya lagi.
Popular menerusi drama Lelaki Kiriman Tuhan, Remy tidak pernah terfikir meletakkan noktah kerjayanya sebagai seorang pelakon.
Masih banyak lagi watak yang saya mahu lakonkan. Saya pernah nak cuba keluar dari bidang seni dan buat benda lain tetapi tak boleh kerana sudah berasa seronok berlakon.
“Kalau sudah masuk dalam dunia hiburan ini, kita memang susah nak berhenti,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Remy bakal muncul dengan filem baharu berjudul The Experts arahan Andre Chiew dan Nazim Shah.
Selain Remy, filem itu turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Maya Karin, Syafiq Kyle dan Mimi Lana. – HIBGLAM