PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak meletakkan harapan dikalungkan gelaran Biduanita Negara selepas dikatakan layak untuk menerima pengiktirafan tertinggi itu.
Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Taruddin, 45, ketika ditemui berkata, tujuan dia berkecimpung dalam bidang seni sebagai penyanyi sejak 27 tahun lalu bukanlah untuk memburu penghargaan atau pengiktirafan, sebaliknya kerana minat dan mahu menghiburkan penggemarnya.
Tak perlulah saya mengharap sangat (gelaran biduanita). Kerja-kerja yang saya lakukan sekarang (menyanyi), memang saya buat sebab minat.
“Saya suka melihat peminat gembira. Saya tidak pernah fikir, kalau buat sesuatu itu kerana mengharapkan penghargaan,” katanya kepada HibGlam.
Bagaimanapun, Siti yang ditemui di majlis Iftar Nurjiwa Prihatin, baru-baru ini berkata, jika sudah tertulis rezekinya meraih gelaran tersohor itu dia akan sambut dengan hati terbuka.
“Dalam satu masa, saya cuma boleh kata alhamdulillah. Namun, masa sama perkara ini bila nak jadi (rezeki), sampai masa akan dapat juga.
“Apa yang penting hati saya akan lebih gembira jika dapat terus menghiburkan peminat,” ujarnya.
Terdahulu, kejayaan pelantun lagu Percayalah itu menganjurkan konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza pada 9 Mac lalu telah menarik perhatian banyak pihak yang menyarankan agar penghibur terkenal itu diiktiraf sebagai Biduanita Negara.
Saranan itu turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang terpanggil memberikan respons gelaran itu mungkin boleh diberikan kepada Siti.
Sebagai rekod, gelaran Biduanita Negara buat masa ini hanya diberikan kepada dua penyanyi sahaja iaitu Allahyarhaman Puan Seri Saloma dan Allahyarhaman Datuk Sharifah Aini. – HIBGLAM