Tak jaga ikhtilat, mudah syaitan buat kerja – Zara Zya

BERSUARA tentang isu curang yang hangat diperkatakan dalam media sosial sejak semalam, pelakon Zara Zya berpesan agar golongan wanita dan lelaki menjaga batas pergaulan bagi mengelak terjebak hubungan terlarang.

Tanpa menyebut mana-mana nama, Zara, 38, berkata batas pergaulan sangat penting kerana jika tidak dijaga mampu menggugat kesetiaan dan timbul perasaan suka terhadap individu lain.

“Sebab itu pentingnya untuk kita menjaga ikhtilat.

“Kalau tidak, kau akan jatuh cinta dengan berlainan orang setiap hari.

“Jangan terlalu buka ruang bermesra atas niat sekadar berkawan dengan berlainan jantina,” katanya dalam InstaStory.

Tambah pelakon drama Risik Pada Hati itu, menjaga pergaulan juga penting bagi mengelakkan ‘makhluk’ ketiga iaitu syaitan menghasut melakukan perkara tidak sepatutnya.

Zara bagaimanapun berpendapat setiap individu bebas untuk menjadikan curang sebagai ketentuan Tuhan mahupun pilihan sendiri.

“Bila tidak jaga batas pergaulan, mudah syaitan datang buat kerja.

“Jadi pilihan di tangan sama ada jadikan curang itu takdir atau pilihan,” jelasnya.

Semalam, kecoh dalam media sosial apabila seorang wanita dikenali sebagai Sarah Yasmine mendedahkan dirinya ‘kekasih gelap’ penyanyi Aliff Aziz.

Pendedahan tersebut mengundang pelbagai reaksi termasuk selebriti tanah air yang rata-ratanya mengecam tindakan Aliff kerana curang terhadap isterinya, Bella Astillah. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok