‘Syasya tetap sahabat kami’

PENGUNDURAN Syasya daripada Dolla dua hari menjelang Syawal mengejutkan ramai, namun tiga lagi tunjang utamanya, Sabronzo, Tabby dan Angel tegar melangkah untuk terus menjulang jenama kumpulan itu ke persada dunia.

Tidak pernah terfikir ikatan ampuh kumpulan Dolla bakal terlerai lebih-lebih lagi ketika nama di puncak, ketiga-tiga yang tinggal menganggap keputusan rakan mereka sebagai ketentuan takdir. Khabar mengejutkan itu diumumkan syarikat pengurusan hanya dua hari sebelum umat Islam mahu berhari raya.

Hanya mampu berlapang dada, tiga anggota yang ada meneruskan perjuangan Dolla sentiasa mendoakan teman baik mereka itu terus sukses sama ada terus aktif bergerak solo atau apa sahaja gelanggang seni yang bakal diterjuni kelak.

Menurut Sabronzo, mereka menghormati keputusan Syasya atau nama sebenarnya Noor Syasya Afiqah Shahrizal, 23, sekali gus lebih selesa tidak memperkatakan lagi perkara itu.

“Kami tetap bersahabat. Itu sahaja yang boleh saya katakan kerana semuanya sudah Universal Music zahirkan ketika pengumuman tempoh hari,” ujarnya ringkas.

Bagi Angel, selepas hampir lima tahun bersama tentu sahaja perasaan kehilangan tetap dirasai memandangkan sepanjang tempoh tersebut hampir semua perkara dilakukan bersama-sama.

“Sudah pasti tercetus perasaan ‘kosong’ tanpa Syasya di sisi, lebih-lebih lagi kami berempat sudah seperti adik-beradik yang berkepit ke mana-mana,” kongsinya.

Bagi Tabby pula, persahabatan yang terjalin sekian lama tidak mungkin terlerai biarpun Syasya bukan lagi berpayung di bawah Dolla.

“Syasya pernah jadi sebahagian daripada kumpulan ini, jadi kenangan ditinggalkan tetap kami ingat sampai bila-bila,” luahnya.

Enggan mengenang perkara sedih, mereka lebih suka berbicara tentang aura positif termasuk memori sambutan Syawal tahun-tahun terdahulu.

Kunci mulut 

“Memang macam-macam kami rancang bersempena hari raya ini termasuk berkumpul dengan saudara-mara dan menziarahi mereka yang rapat.

“Sebelum ini saya dan Syasya tak pernah melupakan dua kawan baik kami yang tak menyambut Aidilfitri, Tabby dan Angel dengan menjemput mereka beraya di rumah.

“Kedua-duanya seronok dapat menikmati rendang dan lemang. Hari raya adalah waktu kita eratkan hubungan,” kata Sabronzo atau Wan Sabrina Wan Rusli, 29.

Sebelum itu mereka bertiga hadir ke studio Media Mulia bagi menjalani sesi fotografi khas sempena hari raya bersama Pose.

Begitupun, masing-masing hanya memberi alasan rakan mereka kurang sihat dan perlu berehat sehingga tidak dapat menyertai sesi berkenaan.

Bercerita mengenai persiapan Syawal, Sabronzo yang berhari raya di Kuala Lumpur mengakui sambil merapatkan ukhwah antara saudara-mara, hari raya juga adalah waktu untuk mereka berehat seketika.

“Ketika Ramadan, Dolla diundang ke luar negara termasuk Singapura selain China untuk menjayakan sebuah program pertandingan realiti.

“Sebelum itu pula boleh dikatakan jadual kami ‘back to back’ penuh sekali gus membuatkan kami menunggu ketibaan hari lebaran.

“Inilah masanya kami balas dendam dengan beraya bersungguh-sungguh dan peruntukan masa dengan orang tersayang,” ujarnya.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok