SELEPAS mengejutkan peminat dengan pengundurannya daripada kumpulan Dolla, Syasya hari ini mendedahkan dirinya sudah berkahwin semalam.
Menurut Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, khabar itu merupakan faktor utama mengapa Syasya meninggalkan Dolla sebelum ini.
“Tidak dinafikan pengunduran Syasya daripada Dolla mengejutkan ramai tetapi kami perlu akur keputusan dibuat empunya diri yang disifatkan terlalu peribadi.
Ingin dikongsi berita gembira buat semua yang mana Syasya mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya pada hari ini (semalam). Ini juga antara faktor utama kenapa Syasya memilih untuk tidak lagi bersama Dolla,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, Kim berharap berita tersebut menamatkan spekulasi mengenai pemilik nama Norsyasya Afiqah Shahrizal itu.
“Kita doakan semoga segala apa yang sudah dirancang Syasya akan berjalan lancar dan dipermudah. Diharap ikatan perkahwinan yang dibina berkekalan hingga ke jannah.
“Apa yang penting, semoga berita gembira ini menghentikan segala spekulasi tidak tepat yang timbul.
“Kami juga berharap agar semua pihak dan peminat akan terus menyokong kerjaya seni dan karya daripada Dolla,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Syasya menarik diri daripada kumpulan Dolla pada 8 April lalu selepas kerap tidak muncul bersama kumpulan terbabit dalam mana-mana acara.
Untuk rekod, Dolla ditubuhkan pada April 2019 selepas Angel, Sabronzo, Tabby dan Syasya digabungkan menerusi sesi uji bakat pencarian kumpulan penyanyi wanita baharu. – HIBGLAM