TIDAK perlu kata-kata manis mahu pun berbaur romantis, perkongsian emoji cinta sebagai kapsyen foto selepas sah bergelar suami isteri sudah cukup menggambarkan kebahagiaan bekas anggota Dolla, Syasya.
Sah menjadi suri hati jejaka yang belum diperkenalkan kepada umum kelmarin, hantaran berupa dua gambar usai pernikahan mereka dibuat dalam Instagramnya serentak dengan pengumuman Universal Music Malaysia (UMM) mewakili pengantin.
Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 23, berkongsi gambar dengan teman hidupnya itu yang mengenakan persalinan serba putih sedondon sambil kedua-duanya menunjukkan cincin masing-masing.
Meninjau ruangan komen, rata-rata peminat tegarnya menitipkan ucapan tahniah kepada pasangan mempelai sambil mendoakan kebahagiaan mereka.
Tiga sahabat yang bersama-sama mengukuhkan jenama Dolla sejak ditubuhkan pada 2019 juga tidak ketinggalan menzahirkan kegembiraan mereka atas perkahwinan tersebut.
Biarpun difahamkan mereka tiada dalam majlis pernikahan, trio yang kini meneruskan perjalanan kumpulan itu selepas Syasya mengundurkan diri beberapa hari menjelang Syawal tetap berkongsi rasa bahagia.
Adik saya kelihatan menyerlah seperti biasa,” tulis Sabronzo.
“Tahniah,” ucap Tabby pula dengan ringkas.
Tahniah, didoakan semoga segala yang dilakukan pada masa depan berjaya,” luah Angel.
Peminat pula menyifatkan kehadiran teman hidup Syasya itu membawa perubahan besar terhadap dirinya terutama selepas tampil bertudung ketika 1 Syawal lalu.
Semoga terus istiqamah dibimbing suami,” kata seorang netizen dalam hantaran sebuah portal berita.
Berita pernikahan Syasya, 23, disahkan syarikat rakaman UMM selepas fotonya di sebuah masjid berbaju pengantin yang turut disertai ahli keluarga terdekat bertebaran di laman sosial.
Bagaimanapun, butiran terperinci majlis itu termasuk identiti jejaka yang mencuri hati Syasya tidak didedahkan.
Menerusi kenyataan media, perancangan mendirikan rumah tangga jug menjadi antara faktor pengunduran Syasya daripada Dolla.
Pada 8 Mac lalu, Dolla membuat kejutan apabila mengumumkan pengunduran Syasya menerusi hantaran di akaun rasmi mereka hingga ramai peminat kecewa.
Sementara itu, wakil UMM yang dihubungi HibGlam menyatakan akan meminta Syasya sendiri yang memperkenalkan suaminya kepada umum. – HIBGLAM