Sufian Suhaimi nak kahwin lepas raya

BILA nak kahwin?”

Itu antara soalan yang paling ‘menyeramkan’ buat segelintir golongan bujang setiap kali berkunjung ke rumah sanak saudara sepanjang sambutan Aidilfitri.

Berbeza pandangan, penyanyi Sufian Suhaimi mengakui tiada masalah sekiranya dihujani soalan cepu emas sebegitu pada usia 33 tahun.

Baginya, semua itu adalah ‘modal’ golongan lebih berusia untuk memulakan perbualan selepas sekian lama tidak bertemu.

Tak sentap

“Keluarga saya seperti sudah memahami tetapi saya tidak terasa hati atau melenting pun jika disuakan soalan tentang jangkaan mahu menamatkan zaman bujang.

“Bagi saya, soalan sebegitu sekadar cara orang tua nak jadikan topik perbualan. Jadi, kita layankan sahaja sebab keesokannya harinya mereka sudah lupa,” katanya kepada Pose baru-baru ini.

Ditanya reaksi terhadap soalan sedemikian, pelantun lagu Terakhir itu hanya memberikan respons standard yang sama setiap tahun.

“Saya ada jawapan skema setiap tahun iaitu ‘lepas raya’ cuma tak tahulah, raya tahun bila. Mungkin tahun ini jawapan sama yang saya akan berikan.

“Bagi segelintir orang bujang mungkin rasa sensitif tetapi untuk saya tidak,” ujarnya yang menyambut hari raya di Muar, Johor tahun ini.

Pada masa sama, Sufian tidak pernah meletakkan sebarang tekanan pada diri untuk meraikan hari raya dengan wanita bergelar isteri.

Memiliki pasangan atau teman istimewa disifatkan satu bentuk rezeki dari Tuhan yang boleh hadir pada bila-bila masa.

“Saya tak mahu buat diri sendiri stres mengenai hal kahwin atau pandangan orang ramai.

“Jodoh adalah rezeki. Mungkin rezeki jodoh saya lambat sikit Tuhan beri. Isu jodoh hal biasa bagi saya,” tuturnya.

Badi hubungan cinta

Pemilik Ijazah Sarjana Komunikasi Massa itu turut menepis dakwaan segelintir pihak yang berpendapat dirinya memiliki aura kurang baik setiap kali menjalinkan hubungan cinta.

Dakwaan tersebut tercetus selepas Sufian  mengesahkan perancangan perkahwinan dengan seorang bakal peguam dikenali sebagai Rania Al Sadat sudah terlerai bulan lalu.

Tegas Sufian, fasa putus cinta itu normal akan ditempuh setiap individu sebelum bertemu dengan pasangan hidup yang sudah ditetapkan Tuhan.

“Hakikatnya perkara ini (putus cinta) berlaku kepada semua orang malah ada yang pernah melaluinya lebih banyak kali berbanding saya.

“Saya baru berdepan putus cinta kurang tiga kali dan itu normal. 

“Inilah sebahagian daripada perjalanan dan dugaan yang perlu ditempuh sebelum bertemu dengan individu yang tepat untuk mendirikan rumah tangga,” jelasnya.

Sudah beberapa kali putus cinta, penyanyi lagu Di Matamu itu bertegas tidak pernah serik ataupun takut untuk mengenali dan menjalin hubungan istimewa dengan mana-mana wanita.

“Saya sentiasa positif dengan semua aturan hidup yang Tuhan sudah tetapkan malah putus cinta baru-baru ini juga dilalui dengan tenang.

“Tiada istilah serik untuk bercinta pun, tetapi saya pun tidak terdesak untuk mencari pengganti,” tuturnya.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok