PECAH panggung! Begitulah ledakan filem Sheriff: Narko Integriti yang sekali gus membuktikan karya tempatan masih mendapat tempat di jiwa pencinta filem tanah air.
Di sebalik kejayaan tersebut, terselit tanda tanya ramai mempersoalkan jalan cerita mendedahkan sisi gelap pihak berkuasa, khususnya imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Rasuah, kegiatan haram dan salah guna kuasa antara mesej ‘keras’ yang diketengahkan pengarah naskhah berkenaan, Syafiq Yusof.
Bukan sengaja mahu memburuk-burukkan imej pihak berkuasa, Syafiq sebaliknya berpendapat penonton sudah semakin matang dalam menilai mesej dalam sesebuah karya.
Baginya, zaman semakin moden dan setiap sisi gelap dunia kepolisan yang dilakukan segelintir penjawat tidak sewajarnya disorok kepada pengetahuan umum.
Katanya, idea asal filem tersebut adalah daripada bapanya, Datuk Yusof Haslam sebelum diolah tanpa merosakkan alur cerita.
“Zaman sudah berubah dan penonton hari ini sudah bijak menilai.
“Bukan nak burukkan pihak polis tetapi realiti sebegini yang harus diketengahkan untuk beri kesedaran.
“Setiap perkara buruk tidak boleh di sorok selama-lamanya, jadikan mesej filem ini sebagai pengajaran,” katanya.
Berkongsi lanjut, penggambaran filem tersebut mengambil masa selama 81 hari ditambah pula dengan kesukaran untuk melaksanakan beberapa babak.
“Agak lama penggambaran dan proses menyiapkan filem ini mengambil masa. Ada beberapa babak yang memang sukar nak disiapkan seperti adegan tembak menembak dan ketika waktu hujan.
“Namun, syukur semuanya berjaya dilakukan dengan hasil kerjasama seluruh pasukan produksi,” tuturnya.
Sementara itu, selaku penerbit, Yusof berkata, naskhah terbitan Skop Production Sdn. Bhd. dan Astro Shaw tersebut telah dinilai dan mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan pihak PDRM sebelum ditayangkan kepada umum.
Ujarnya, PDRM begitu terbuka meskipun Sheriff mengangkat sisi gelap dunia kepolisan menerusi layar perak.
Akuinya, subjek filem Sheriff jauh lebih berat dan mencabar berbanding beberapa filem bertemakan kepolisan yang pernah dihasilkan sebelum ini.
Mesejnya memang nampak negatif tetapi sangat bagus. Kami yakinkan pegawai di PDRM bahawa zaman sudah berubah lebih-lebih lagi dengan kehadiran ledakan kuasa media sosial.
“Ada juga beberapa pindaan yang kita lakukan hasil nasihat daripada PDRM, namun hasilnya tidak menjejaskan idea asal dan jalan cerita. Kita perlu ada anjakan dalam industri kalau nak maju.
Kami juga turut panggil beberapa pegawai daripada Bukit Aman termasuk unit narkotik bagi memberikan komen dan hasilnya positif. Terima kasih PDRM,” jelasnya.
Sama seperti penerbit lain, Yusof berharap mesej yang dipaparkan berjaya disambut penonton.
“Harap penonton dapat faham semua nilai dan mesej yang mahu Syafiq salurkan dan dijadikan iktibar.
“Kalau dapat kutipan tinggi itu bonus,” katanya lagi.
Sehingga minggu lalu, Sheriff: Narko Integriti yang ditayangkan sejak 18 April berjaya meraih kutipan lebih RM16 juta selepas empat hari ditayangkan.
Naskhah tersebut membariskan Zul Ariffin sebagai Sheriff, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan serta ramai lagi. – HIBGLAM