PENULIS punya banyak perkara untuk dibentang tentang Sheriff arahan Syafiq Yusof dengan sedikit atau helaian muka surat terhad dalam ulasan filem minggu ini.
Setakat tulisan ini diusaikan iaitu empat hari tayangan, Sheriff telah berjaya meraih 16.3 juta kutipan di panggung.
Tidak mustahil andai pola ini konsisten akan menggugat kestabilan rekod filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof yang memegang rekod filem paling laris tempatan (RM97 juta).
Menyentuh tentang kualiti filem bertemakan aksi thriller tersebut, penulis secara peribadi agak skeptikal pada permulaan karya dinaratifkan.
Spoiler alert, buat mereka yang sudah menonton, mengapa perlu dibocorkan karakter antihero seawal minit awal penceritaan? Belum masuk act 1, sudah tahu siapa itu Meth Killer.
Kendatipun, filem sebenarnya diolah untuk plot twist yang lebih meluas. Sedikit mudah dijangka, namun bukan hanya Meth Killer yang menjadi dalang segala kebobrokan dalam dunia kepolisan.
Ada ‘tikus-tikus’ lain yang sangup melacurkan profesion yang sangat dipandang tinggi khalayak itu sama ada disebabkan terpaksa kerana bilah pisau diacukan di leher atau memang sudah jadi bak lembu dicucuk hidung.
Dari segi plot atau naratif, pujian buat mereka yang terlibat terutama Syafiq yang semakin hari, semakin menderas maju sebagai seorang pengarah. Silap hari bulan, boleh ‘makan’ abang sendiri, Syamsul Yusof yang selama ini mendapat julukan ‘tangan emas’.
Buat penulis secara peribadi, apa yang dibentangkan dalam Sheriff boleh dijangka daripada awal walaupun ramai yang terkejut dengan plot twist atau pusingan plot.
Sebagai pencinta dunia sinema, sudah boleh dihidu dari awal siapa Meth Killer dan siapa duri dalam daging dunia kepolisan yang bersekongkol dengan tokan dadah terbesar, Tony Ifrit (Aaron Aziz).
Tiada plot twist yang membingungkan kepala pun sebenarnya kerana semuanya sudah dibocorkan dari masa ke masa, namun itu bukan satu kecacatan buat filem. Barangkali pilihan itu untuk terus memancing perhatian audiens.
Keduanya, dari segi terjemahan karakter, kesemua pelakon yang terlibat dalam filem ini faham tugasan masing-masing terutama Syafiq Kyle yang menjayakan karakter Nazri.
Dari satu perspektif, dapat rasakan aura joker dalam dari karakter Inspektor Nazri; seorang manusia yang menggali keadilan menggunakan cara sendiri.
Walaupun dunia ini ada undang-undang, kebanyakan manusia sewenang-wenangnya menghenyak peraturan sebab korupsi itu memang ada di mana-mana jabatan ataupun dunia pekerjaan.
Untuk itu, Syabas buat Syafiq Kyle kerana terjemahan karakter Nazri. Kalau nak lagi kick sinergi antaranya karakter Nazri dan kakaknya, ASP Sya difokalkan lagi untuk membuatkan audiens lebih ‘meraung’.
Karakter-karakter lain seperti DSP Sheriff (Zul), ASP Jeniffer (Elizabeth) dan villain Tony (Aaron) juga tidak langsung menghampakan.
Cumanya, penulis mengharapkan adegan pertarungan antara Sheriff dan Tony tidaklah bersifat antiklimaks seperti apa dipaparkan. Rasa macam sekejap sangat fight mereka.
Apapun, Sheriff telah meletakkan satu tanda aras baharu untuk dunia perfileman tanah air.
Kalau dulu karya-karya bercorak kepolisan ‘takut-takut’ dan hanya mencanang perkara positif tentang Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun Sheriff punya ‘telur’ terseniri.
Tepukan gemuruh buat pasukan Sheriff dan PDRM yang terbuka membongkar apa yang tersirat dalam dunia kepolisan. Syabas! – HIBGLAM