Sepupu suami Eyra Hazali mangsa korban helikopter terhempas

NAHAS membabitkan dua helikopter terhempas selepas bertembung ketika membuat latihan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut pagi tadi melibatkan ahli keluarga pelakon Eyra Hazali.

Khabar duka tersebut dimaklumkan Eyra atau Hazirah Qasdina Hazali, 25, yang menyatakan salah seorang mangsa merupakan sepupu suaminya, Haziq Nadzli.

Al-fatihah kepada semua yang terlibat dengan kemalangan helikopter. Salah seorang mangsa sepupu suami saya iaitu Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin.

“Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya menerusi hantaran InstaStory.

Hari ini, dua helikopter TLDM bertembung semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90 kira-kira pukul 9.45 pagi tadi.

Seramai 10 kru dilaporkan terkorban iaitu tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan tiga kru Fennec TLDM.

Sehubungan itu, TLDM memohon orang ramai tidak menularkan video insiden terbabit demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses siasatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok