Sepasang dua baju raya sudah cukup – Siti Nurhaliza

BERGELAR bintang tersohor, sambutan Aidilfitri penyanyi yang selayaknya dibahasakan biduanita, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu sebenarnya tidak banyak beza dengan orang lain.

Kemeriahan sambutan hari kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa Ramadan, dirai dengan sederhana.

Tambah membuatkan rayanya bukan diri sendiri, kehadiran dua orang cahaya mata semestinya jadi keutamaan dalam menyambut 1 Syawal yang dirai dengan penuh kesyukuran.

Utamakan anak-anak

Kata penyanyi tersohor berusia 45 tahun itu, hari raya yang disambut pada tahun ini, sama seperti tahun-tahun sebelumnya apabila mengelak daripada pembaziran, terutama melibatkan soal pakaian baharu.

“Untuk saya sendiri, kalau ada sepasang dua baju raya sudah cukup. Mana baju-baju lama yang masih boleh dipakai, saya akan pakai.

“Cuma kalau raya pertama dan kedua, pakailah juga baju baharu. Selebihnya untuk persiapan raya, saya fokus kepada anak-anak iaitu Aafiyah dan Afwa,” katanya.

 

SAMA seperti ibu-ibu lain, anak-anak menjadi keutamaan Siti dalam membuat sambutan dan persiapan raya.

Untuk tema raya tahun ini, Siti dan keluarga ‘melaram’ dengan pakaian warna sedondon iaitu kelabu, mengikut permintaan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K.

“Tahun ini keluarga saya berpakaian sedondon warna kelabu. Suami yang pilih sebenarnya, selain warna biru nila (biru gelap).

“Orang lain mungkin akan ikut trend, katanya tahun ini warna oren bata, tetapi saya ikut suami,” ujarnya berseloroh.

Jaga pemakanan

Tidak cukup dengan pilihan warna busana, juadah pagi raya juga harus ada menu raya tradisi Datuk K. 

Memandangkan suami tercinta berasal dari Kedah, makanan seperti ketupat daun palas menjadi kewajiban yang perlu dihidangkan semasa lebaran.

“Suami orang Kedah. Jadi kena ada ketupat daun palas. Ibu mentua saya memang akan tempah awal-awal ketupat daun palas, original dari Kedah.

“Selain itu, makanan kegemaran saya sendiri iaitu nasi impit dan kuah kacang juga wajib ada selain daripada rendang dan serunding.

“Sejak dua tiga tahun lalu, saya rajin buat rendang sendiri, sama seperti ibu-ibu yang lain. Kalau nak kelainan, buatlah sikit nasi minyak,” jelasnya.

KETUPAT palas antara menu wajib kegemaran suami tersayang yang akan Siti pastikan ada tersaji di atas meja makan setiap kali menyambut lebaran.  

Siti bagaimanapun perlu berpada-pada supaya tidak makan secara berlebihan, kerana bimbang berat badannya akan naik semula, selepas sebulan berpuasa.

“Raya, raya juga. Tapi makan kena berpada-pada. Takut juga berat badan naik balik. Sebenarnya semasa konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza pada 9 Mac lalu, berat badan saya turun sebanyak lapan kilogram. Seronoklah juga.

“Jadi hari raya ini, kena jaga-jaga juga makan. Risau naik balik. Insya-Allah, semasa Syawal juga saya akan amalkan puasa enam,” katanya.

Kesihatan

Menyentuh perkembangan terkini selepas sukses menjayakan konsert meganya di Axiata Arena, Bukit Jalil, dua hari sebelum Ramadan lalu, Siti menzahirkan rasa syukur atas pelantikannya sebagai duta jenama produk kesihatan nombor satu Malaysia, Cuckoo untuk tahun kelima berturut-turut.

Kata pelantun Kurniaan Dalam Samaran itu, peluang menjadi jurucakap produk kesihatan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjadi ‘suara’ kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga kesihatan diri dan keluarga.

SITI akan mengumumkan penganjuran sebuah lagi konsert pada tahun ini.

Pengalaman dijangkiti Covid-19, sehingga hampir ‘memusnahkan’ suaranya membuatkan Siti lebih berhati-hati untuk menjaga kesihatan dan kebersihan diri.

“Saya mahu beritahu kepada masyarakat di luar sana yang belum betul-betul peduli tentang kesihatan, sebenarnya hari ini kita hidup dalam dunia yang sangat mencabar.

“Saya memang sangat disiplin tentang kesihatan sejak zaman anak dara lagi. 

“Selepas dijangkiti Covid-19 semasa pandemik lalu, sehingga membuatkan suara saya ‘hilang, saya jadi tambah berjaga-jaga soal kesihatan.

“Anak saya sendiri, Aafiyah sangat sensitif dengan udara tercemar selepas dia juga dijangkiti Covid-19 sehingga menyebabkan paru-parunya lemah. 

“Sebagai ibu, saya akan pastikan anak-anak sihat. 

“Begitu juga saya memandangkan tahun ini usia saya sudah pun mencecah 45 tahun,” tegas Siti yang bakal mengadakan sebuah lagi konsert dalam masa sedikit masa lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok