Sentuh perihal pura-pura, ibu Aliff Aziz ‘jentik’ Bella Astillah?

SELEPAS pelakon Bella Astillah membuat pengakuan mengenai hubungannya dengan pelakon baharu, ibu mentuanya, Siti Hafiza Basharahil seakan menyindir seseorang dengan meluahkan kenyataan berkaitan kepura-puraan.

Hafiza menyatakan manusia boleh menutup kesalahan di hadapan orang lain namun tidak mampu menipu diri sendiri.

Air mata dan lakonan yang hebat boleh menutup mata manusia akan perbuatan dan siapa kita yang sebenar.

“Tetapi yakinlah kita pasti akan takut pada bayang-bayang kita sendiri. Wallahualam,” tulisnya dalam hantaran di Instagram Story.

Bagaimanapun, ibu tiga anak yang mengakui hanya memberikan pandangan ikhlas tidak menyebut nama mana-mana pihak.

Sejak kontroversi anak sulungnya ditangkap khalwat dengan Ruhainies pada 9 Mac lalu, Siti Hafiza kerap memuat naik hantaran berupa mutiara kata serta petikan hadis atau potongan ayat al-Quran dalam laman sosialnya.

Namun selepas isu membabitkan Aliff terus membahang, wanita berkenaan dipercayai tidak lagi mengikuti Instagram menantunya.

Bella pula memfailkan cerai secara ekspres dan kes itu disebut semula di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.

Semalam, Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, mendakwa Aliff berlaku curang sebanyak 11 kali termasuk menjalin hubungan dengan adik iparnya, Eriqa Astillah.

Bella juga mengaku ‘menggunakan’ Muaz Zabir untuk membuat suaminya cemburu berikutan tular foto dan perbualan mesra dalam media sosial.

Hubungan terbabit didakwa sudah berlangsung sejak Oktober tahun lalu, selain mereka kerap berkongsi foto rutin harian dalam mesej WhatsApp.

Terdahulu, Bella sah bergelar isteri kepada Aliff pada 9 September 2016 serta dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok