SUDAH beberapa hari umat Islam serata dunia meraikan Aidilfitri selepas sebulan berpuasa.
Ramai teruja memuat naik foto beraya bersama keluarga, bergaya dengan baju baharu dan berkongsi juadah istimewa dalam laman media masing-masing.
Momen indah itu turut dilalui selebriti Korea Selatan .
Sempena Syawal yang mulia, HibGlam menyenaraikan beberapa selebriti dan pempengaruh Korea yang menyambut kedatangan 1 Syawal baru-baru ini.
Ayana Jihye Moon
MULA dikenali selepas memeluk Islam kerana tertarik dengan budaya negara Timur Tengah, model Ayana Jihye Moon menyambut Aidilfitri bermula sedekad lalu.
Sejak menjadi mualaf, dia sering berkongsi kisah penghijrahan dalam media sosial dan menerusi sebuah buku tulisannya berjudul Ayana Journey To Islam.
Meskipun sudah bergelar wanita muslimah sejak 2012, tahun ini Ayana baru berkesempatan solat di Masjid Seoul pada 1 Syawal lalu.
Wanita berusia 29 tahun yang kini tinggal di Indonesia dan Malaysia itu turut dilihat menyambut lebaran bersama penyanyi nombor satu negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Sang Bora
SAMA seperti Ayana, pempengaruh media sosial iaitu Song Bora turut menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas menjadi mualaf sejak 2007.
Selepas memeluk Islam, dia bekerja sebagai guru bahasa Arab dan pengajian Islam di Lembaga Budaya dan Bahasa Arab, Korea Selatan.
Sempena Syawal, Bora memuat naik foto duduk di atas sejadah dengan kapsyen: “Eid Mubarak (Selamat Hari Raya Aidilfitri).”
Dalam masa sama, Bora dilihat memakai pelitup muka sambil menadah tangan berdoa kepada Tuhan.
Manny
BEKAS anggota kumpulan Varsity iaitu Manny merupakan individu yang turut menyambut Aidilfitri.
Tahun ini, pemilik nama sebenar Xiao Dongcheng itu memuat naik foto masjid di kampung halamannya sambil mengucapkan salam lebaran buat semua peminat.
Beberapa hari lalu, artis berketurunan Uighur dari negara China itu memuat naik foto juadah raya yang serba sederhana.
Zayyan
ANGGOTA kumpulan Xodiac, Zayyan yang kini menetap di Korea Selatan menyambut lebaran di negara itu.
Meskipun tidak berkongsi lanjut perkara itu, seorang peminat berjaya merakam gambarnya dari belakang ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Tidak lama kemudian, Zayyan memuat naik foto di bawah pokok sakura sambil mengucapkan selamat hari raya.
Dalam masa sama, jejaka berusia 24 tahun itu dilihat menjamah ketupat, sayur, rendang dan keropok pada 1 Syawal lalu.
Daud Kim
PENYANYI dan pempengaruh YouTube, Daud Kim menyambut Aildilfitri buat kali kelima selepas mengucap kalimah syahadah pada 2019.
Berbeza dengan orang lain yang menyambut lebaran di Korea, Daud yang lebih dikenali sebagai Jay Kim memilih untuk beraya di Pakistan.
Menerusi hantaran InstaStory pada 1 Syawal lalu, Daud atau nama sebenarnya Kim Kyun-woo dilihat menikmati juadah istimewa Pakistan.
Lebih menarik, raya kali ini Daud berjaya membeli tanah di Incheon, Korea Selatan bagi membina sebuah masjid. – HIBGLAM