Selebriti akhiri hayat akibat komplikasi jantung

NAMPAK sihat dari segi luaran tidak bermakna kesihatan dalaman terutama jantung juga terjamin. 

Kematian orang-orang popular disebabkan serangan jantung membuatkan khalayak kian berwaspada dengan penyakit berkaitan orang dalaman penting tersebut. 

Bahkan, mereka menjalani gaya hidup sihat seperti selalu bersenam dan menjaga pemakanan juga tidak terkecuali mengejutkan orang ramai menemui ajal pada usia muda. 

Minggu ini, HibGlam merangkumkan antara selebriti tempatan yang dijemput ajal disebabkan penyakit yang menjadi kebimbangan ramai iaitu sakit jantung. 

  • PIAN CECUPAK

Fakta: Sering keluar masuk hospital, pelawak dan pengacara Allahyarham Pian Cecupak, 52, meninggal dunia selepas ditemui terjatuh dalam bilik air di kediaman ibunya di Flat Sentul Murni pada Januari 2022. Adiknya Hassenah berkata, abangnya ditemui oleh ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar pukul 8 malam. Hasil bedah siasat mendapati Pian meninggal dunia akibat komplikasi jantung. 

  • ASHRAF SINCLAIR 

Fakta: Biarpun menjalani gaya hidup sihat dengan tubuh badan kekar, Allahyarham Ashraf Sinclair mengejutkan peminat Nusantara apabila meninggal dunia disebabkan serangan jantung pada Februari 2020. Ashraf menghembuskan nafas terakhir dalam tidur sekitar pukul 4.51 pagi  di Hospital MMC, Jakarta, Indonesia.

  • JAAFAR ONN

Fakta: Allahyarham Jaafar, 73, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, Selangor, sekitar pukul 11.30 pagi Rabu lalu. Berita pemergian Jaafar atau nama sebenarnya, Jaafar Onn Awang disahkan anak angkatnya, Mohamad Hanif Hashim.

  • BADRUL MUHAYAT 

Fakta: Allahyarham Badrul Muhayat meninggal dunia ketika tidur di Pulau Pinang Oktober tahun lalu. Khabar sedih itu disahkan pelakon Anne Abdullah selepas dimaklumkan oleh isterinya, Norhayati Zulkapli. Difahamkan Allahyarham Badrul atau nama sebenarnya Badrul Muhayat Ahmad Jailani, 55, tidak mengalami sebarang penyakit serius.

  • MAMAT KHALID 

Fakta: Pengarah serta pelakon, Allahyarham Mamat Khalid meninggal dunia sekitar pukul 12.30 pagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak pada Oktober 2021. Berita duka tersebut disahkan Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah yang memaklumkan Allahyarham dikejarkan ke hospital selepas pengsan di restoran miliknya di Tanjung Malim. Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia disebabkan beberapa komplikasi kesihatan termasuk jantung. 

  • RIDZUAN HASHIM

Fakta: Berita pemergian pelakon yang terkenal dengan watak King dalam filem KL Gangster, Allahyarham Ridzuan Hashim, 62, disahkan bekas isteri yang juga pelakon, Didie Alias menerusi Instagram pada 4 Mei lalu. Menurut Didie, Ridzuan menghidap sakit jantung sejak tiga tahun lalu, namun perkara itu hanya diketahui dirinya, anak-anak serta teman rapat. Anak saudaranya yang juga pelakon, Iman Zulkarnain,  memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir secara mengejut ketika bersarapan di kediamannya. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok