Sedih mentua pergi di bulan mulia, Feeya reda

“Arwah memang ada sakit, tapi tak sangka pergi secepat ini.”

Demikian kata penyampai radio Suria FM, Feeya Iskandar yang gagal menahan sebak saat menceritakan keperibadian ibu mentuanya, Allahyarham Asnah Mohd Amin, 73, yang meninggal dunia pada subuh, kelmarin.

Meskipun pahit ditelan, Feeya atau mesra disapa Cik Piah,35, reda dengan pemergian insan tersayang yang sudah dianggap seperti ibu sendiri.

“Arwah memang sudah tak sihat. Beberapa hari sebelum meninggal dunia arwah semakin lemah.

Kami ingat selepas ke hospital dan makan ubat, keadaannya semakin baik, tapi tak sangka Allah tarik nyawanya betul-betul bila masuk waktu subuh, kelmarin.

“Bagaimanapun, kami seluruh ahli keluarga reda dengan pemergiannya dan kita masih perlu teruskan hidup seperti biasa,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya kondisi suaminya ketika ini apabila bonda tiada lagi disisi, Feeya menyatakan dia masih bersedih apatah lagi mempunyai hubungan akrab dengan arwah.

“Nampak suami sedih, tapi adik-beradik nasihat walau apapun terjadi, kita kena reda. Kenangan memang ada, jadi bila teringat sudah tentu rasa sedih.

Disebabkan suami anak bongsu, jadi memang manja dengan arwah. Saya berkahwin dengan anak bongsu, jadi saya faham perasaannya.

“Saya sendiri sukar menahan perasaan kerana sepanjang jadi menantunya, saya tak pernah berbalah seperti yang kita dengar kes seumpama ini.

“Alhamdulillah, arwah pergi dalam keadaan sangat tenang dan mudah,” ujarnya ketika sidang media kempen sambutan Aidilfitri anjuran Suria FM, Raikan Yang Dirai, semalam.

Sebelum ini, Feeya berkongsi khabar duka mengenai pemergian ibu mentuanya melalui hantaran video dalam Instagram.

Dalam perkembangan lain, selain menggalas peranan utama dalam drama raya Suria FM berjudul Suami Raya, Feeya juga menyanyikan lagu raya terbitan stesen radio berkenaan berjudul Nak Suami Raya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok