SELEPAS lima hari ditayangkan, filem Sheriff terus menjadi pilihan penonton sehingga mencatat kutipan cemerlang sebanyak RM16.3 juta.
Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif Bersama, Datuk Yusof Haslam berkata, pihaknya teruja dengan sambutan luar biasa khalayak terhadap Sheriff.
“Alhamdulillah atas sambutan memberangsangkan filem ini yang tentu saja menunjukkan sokongan kaki wayang terhadap naskhah tempatan.
Pihak kami bersama barisan pelakon turut berbesar hati mengunjungi pawagam di sekitar Lembah Klang sepanjang hujung minggu lalu.
“Saya amat teruja serta terharu melihat reaksi di luar biasa penonton dari pelbagai lapisan usia dan latar belakang,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.
Filem genre aksi thriller arahan Syafiq Yusof itu disebut-sebut bakal menyaingi filem blockbuster Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang juga sentuhan seorang lagi anak Yusof, Syamsul.
Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan meraih RM97 juta dalam tempoh dua bulan tayangan di panggung, sekali gus menempa sejarah dalam dunia perfileman tanah air.
Masih terlalu awal untuk meletak harapan tinggi dan kami sentiasa bersyukur dengan momentum positif ini.
“Apa pun hanya terima kasih yang mampu kami ucapkan kepada semua atas sokongan jitu terhadap filem ini,” ujarnya.
Menurut Yusof lagi, sebagai tanda penghargaan orang ramai, barisan pelakon Sheriff akan singgah di pawagam terpilih sekitar lembah klang pada 27 dan 28 April ini.
Filem Sheriff dibintangi Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan.
Naskhah sarat babak mendebarkan itu mengisahkan anggota polis dari Jabatan Integriti, Sheriff ditugaskan menyelesaikan kes ‘Meth Killer, bergandingan dengan Nazri dari Jabatan Narkotik untuk menumpaskan sindiket dadah yang diketuai Tony Ifrit. – HIBGLAM