BUKAN senang untuk bergelar bintang K-pop lebih-lebih lagi berstatus idola yang menjadi tumpuan ramai peminat dalam setiap persembahan.
Persembahan yang disajikan mestilah sempurna kerana ramai penonton meletakkan harapan tinggi bagi setiap aksi.
Seseorang selebriti juga tidak boleh lari daripada mempunyai masalah kesihatan, namun atas dasar komitmen, mereka tetap berjuang demi kepuasan peminat.
Daebak kali ini akan membawakan nama-nama idola K-pop yang tegar mendepani masalah kesihatan demi kepuasan semua, terutama peminat.
V BTS
SERING tampil dengan koreografi tarian cemerlang, vokal mantap dan bertenaga, tiada siapa yang tahu ahli kumpulan BTS iaitu V mengalami masalah kulit sehingga mengganggu persembahannya.
Pada 2019, pemilik nama sebenar Kim Tae-hyung itu pernah mendedahkan kepada peminat tentang derita ‘cholinergic urticaria’ yang merupakan alahan sehingga menyebabkan benjolan merah kecil pada kulitnya.
Benjolan yang menyebabkan kegatalan itu muncul setiap kali dia mengalami peningkatan suhu badan impak aktiviti fizikal. Lebih teruk, tiada rawatan dan ubat khusus bagi merawat masalah tersebut.
Dengan rutin tarian dan persembahan pentas bersuluh pencahayaan yang agak panas, V sebenarnya sentiasa terdedah mendapat ruam kulit.
Solusinya, penyanyi berusia 29 tahun itu harus sentiasa memakai pakaian longgar ketika beraksi.
Wonwoo Seventeen
KETIKA penyanyi Wonwoo tidak muncul pada sesi tanda tangan peminat ketika mempromosikan kumpulan Seventeen pada 2016, agensinya iaitu Pledis Entertainment mengeluarkan kenyataan mengatakan lelaki itu mengalami gastrik.
Penyakit tersebut menyebabkan Wonwoo atau nama lengkapnya Jeon Wonwoo mengalami sakit perut yang kronik.
Selepas pemeriksaan, Pledis memaklumkan bahawa Wonwoo kehilangan stamina dan memerlukan masa untuk berehat.
Berikutan kesihatan yang tidak mengizinkan, Wonwoo sentiasa perlu mendapat rehat secukupnya walaupun sesibuk mana mengejar jadual aktiviti seni.
Krystal Jung f(x)
PENYANYI Krystal Jung f(x) mengalami anemia iaitu penyakit mudah letih dan berasa pening.
Pemilik nama lengkap Chrystal Soo-jung itu juga pernah pengsan lebih daripada sekali, bahkan ada situasi cemas dialaminya dapat ditonton dalam YouTube.
Pada mulanya peminat bimbang dia terlalu kuat bekerja tetapi kemudian mendedahkan masalah anemia yang dialami sejak kecil.
Kekurangan sel darah merah mengakibatkan penyanyi berusia 30 tahun itu mengalami gejala keletihan, lemah dan pening sehingga beberapa kali pengsan di atas pentas.
Hyuna
PEMINAT fanatik Hyuna pasti mengenali wanita yang memulakan debut dengan kumpulan Wonder Girls sejak 2007 itu,
Di awal kemunculan, bapanya pernah memaksa Hyuna atau nama lengkapnya Kim Hyun-ah menarik diri berikutan keadaan kesihatannya yang tidak konsisten.
Rupa-rupanya, Hyuna mempunyai masalah ‘vasovagal syncope’ yang berisiko menyebabkan dirinya jatuh pengsan dan mudah berdepan tekanan emosi.
Disebabkan itu, Hyuna beberapa kali rebah di set penggambaran video muzik Ping Pong dan Dawn pada 2019.
Meskipun keadaan kesihatan tidak menentu dia tidak membiarkan perkara berkenaan menghalang perkembangan kerjayanya. – HIBGLAM