Ruhainies minta Aliff Aziz buang alat perakam dalam kereta

WALAUPUN pelakon Ruhainies sudah mengakui kekhilafan dan memohon maaf secara terbuka, netizen masih ‘berkompang’ dengan pendedahan kekasih gelap Aliff Aziz, Sarah Yasmine termasuk isu kereta yang dibelikan pelakon Bella Astillah kepada suaminya.

Antara yang hangat diperkatakan netizen adalah saranan Ruhainies supaya Aliff tidak memulangkan kenderaan terbabit, sebaliknya meminta pelakon kelahiran Singapura itu membawa ke bengkel bagi membuang alat perakam.

Kalau awak tanya saya, pegang sahaja dulu. Saya nak awak hantar kedai periksa ‘recorder’ apa semua itu (dan) buang.

“Sebab awak pergi dekat-dekat sahaja. Sekurang-kurangnya ada pengangkutan untuk bergerak.

Jangan bagi dulu. Awak ada ‘transport’ untuk rancang (sebelum) dapatkan yang baharu,” katanya menerusi mesej WhatsApp yang dikongsikan kekasih Aliff itu dalam Instagram.

Sebelum ini, Bella mendedahkan mempunyai bukti rakaman perbualan tidak senonoh antara Aliff dan Ruhainies ketika berada dalam kenderaan berkenaan.

Akui ibu kepada dua anak itu, dia meletakkan alat perakam dalam kereta yang dibelikan untuk suaminya selepas mengesyaki perubahan sikap lelaki terbabit sejak berlakon dengan Ruhainies.

Bella berkata, antara penemuannya adalah rakaman perbualan tidak senonoh yang enggan didedahkan, tambahan pula ketika itu merupakan bulan Ramadan.

Sejak kelmarin, pendedahan mesej mesra membabitkan Aliff dan Ruhainies yang mengakui hanya kawan selepas ditangkap khalwat pada 9 Mac lalu mencetuskan kekecohan.

Menariknya, tangkap layar itu turut menunjukkan pengakuan Aliff tidak mempunyai lesen memandu ketika berbual dengan Ruhainies mengenai cara menukar nama hak milik kenderaan.

Bahkan, pagi tadi terdapat perkembangan baru apabila Ruhainies yang tidak memberi sebarang ulasan mengenai pendedahan ‘kekasih gelap’ Aliff mula membuka mulut.

Dia meminta maaf secara terbuka kepada Bella selain menyatakan hasrat mahu berjumpa isteri Aliff bersama Sarah bagi menjernihkan keadaan.

Sementara itu, usaha HibGlam mendapatkan Bella berhubung permintaan Ruhainies tidak berhasil apabila panggilan tidak dijawab. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok