Ruhainies mahu lapor polis, SKMM

MENYAHUT gesaan ‘orang lama’ industri seperti Erma Fatima dan Zed Zaidi yang mencadangkan agar dirinya tidak berpeluk tubuh sekali gus mengheret wanita bernama Sarah Yasmine ke muka pengadilan, pelakon Ruhanies akan membuat laporan polis dalam waktu terdekat.

Bukan itu sahaja, Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, akan membuat laporan atas segala kekacauan yang dicetuskan wanita kelahiran Singapura itu ke Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Saya tahu apa yang telah saya lakukan memang salah sebelum ini. Tapi saya juga harus mempertahankan diri.

“Saya akan buat laporan polis dan SKMM. Bila dan di mana, itu semua lebih baik saya rahsiakan terlebih dahulu atau buat senyap-senyap,” katanya kepada HibGlam menerusi pesanan dalam WhatsApp.

Ditanya tentang keadaan dirinya sekarang, bintang drama Hello, Mr. Perfect! itu berkata, dia sedang cuba menjalani kehidupan dengan positif dan mengakui segala kesilapannya.

Otak saya sedang (clouded) runsing sekarang ini tapi, saya percaya ada hikmah semua ini berlaku.

“Terima kasih kerana bertanyakan tentang keadaan saya tapi buat masa sekarang, lebih baik begini. Apabila ada perkembangan nanti, saya akan jumpa kawan-kawan media semua,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menggesa agar mereka yang terlibat termasuk Ruhainies membuat laporan polis dan ke pihak SKMM atas pendedahan mengaibkan yang dilakukan Sarah Yasmine.

Senada dengan Zed, penerbit dan pengarah Erma Fatima turut mencadangkan agar nama-nama yang dipetik wanita berusia 24 tahun tersebut mengambil tindakan sewajarnya.

Hujung minggu lalu, menerusi temu bual rancangan hiburan, Ruhainies membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Bella Astillah namun tidak disambut wanita itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok