Oktovia Manrose tolak berlakon jika ada syarat ‘free hair’

PELAKON Oktovia Manrose mendedahkan masih ada wakil syarikat produksi memintanya menanggalkan tudung sebagai syarat membintangi drama terbitan pihak terbabit meski sudah tiga tahun berhijab.

Oktovia atau nama sebenarnya Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman, 33,  berkata, alasan permintaan itu dibuat kononnya bukan sahaja kerana tuntutan watak, bahkan imej lama dikatakan membolehkannya pergi jauh.

“Alhamdulillah, sejujurnya saya disua banyak tawaran berlakon tetapi tidak dinafikan masih ada pihak produksi yang minta saya buka tudung.

Mereka kata rugi karier saya dibiarkan begitu sahaja sebab saya boleh pergi jauh dengan penampilan ‘free hair’.

“Tapi saya faham apa dimaksudkan kerana kebanyakan orang seni mengenali saya dengan imej seperti dulu,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Enggan berbalah dan melenting dengan syarat sedemikian, pelakon Dendam Aurora itu menjelaskan kepada pihak produksi tentang keadaan dirinya yang sudah berubah.

Mengakui lebih selektif, Oktovia sentiasa memastikan peranan yang diambil bersesuaian dengan imej wanita bertudung.

Saya tidak terkejut sebab penampilan saya memang macam itu dulu tapi saya akan terangkan kepada mereka yang saya sudah tidak mengambil watak yang perlu mendedahkan aurat.

“Kalau karakter sesuai dan memberi manfaat kepada penonton baru saya bersetuju.

Saya bukan baik sangat cuma sedang berusaha untuk jadi lebih baik. Jadi, kena galakkan buat perkara baik supaya mendorong orang ramai buat perkara sama,” jelasnya panjang lebar.

Oktovia sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Mohd Izat Abd Rahman pada 2011, namun bercerai pada 2015.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak lelaki bernama Muhammad Rayyan Zulkarnain yang kini berusia 13 tahun.

Oktovia kemudiannya berkahwin pula dengan pemain bola sepak Mohamad Khairul Efsan Md Isa, 33, pada 21 Disember 2021 dan dikurniakan cahaya mata perempuan berusia dua tahun.

Kini pelakon tersebut sedang hamil anak ketiga dan kandungannya sudah mencecah usia enam bulan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok