SETIAP kali menjelang sambutan hari kebesaran, paling utama hari raya, perasaan anak perantauan pasti digamit kerinduan sehingga tidak senang duduk menghitung hari untuk pulang ke kampung halaman bertemu keluarga tercinta.
Situasi sama dirasai penyanyi, Wani Kayrie yang teruja setiap kali menyambut Aildilfitri apatah lagi desa dirindui nun jauh di Negeri Di Bawah Bayu.
Gigih menyimpan wang untuk membeli tiket penerbangan yang harganya bukan seringgit dua, penyanyi berusia 25 tahun itu bekerja keras sebelum Ramadan menjelma lagi agar segalanya mencukupi.
Sudah dianggap seperti tanggungjawab, pemilik nama penuh Syazwani Abdullah itu mengakui harus berbelanja lebih untuk tiket penerbangan ke Sandakan, Sabah bagi menyambut hari raya tahun ini.
Bukan sahaja tiket untuk dirinya, dia juga harus menunaikan tanggungjawab melancarkan penerbangan ibu bapa dan beberapa ahli keluarga terdekat.
Wanita bermata sepet itu juga tiada masalah berkongsi rezeki bersama keluarga asalkan mereka gembira dapat pulang beraya.
“Semua orang tahu, tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak bukan murah, apatah lagi di musim perayaan, boleh jadi sekali ganda mahal daripada harga biasa.
“Macam saya, habis dalam beribu-ribu jugalah untuk tiket sahaja sebab bawa balik ahli keluarga terus ke Sandakan.
“Tapi tidak mengapalah, untuk raya ini kena berbelanja lebih sikit, bukannya selalu pun, terutama bagi saya yang hanya balik setahun sekali,” katanya kepada HibGlam.
Berkongsi mengenai kelainan sambutan Aildilfitri di Sabah berbanding Kuala Lumpur, kata Wani, terlalu banyak perbezaan terutamanya dari segi kemeriahan yang menjadi kenangan sampai bila-bila.
“Kalau di Sabah, hari raya pertama semua akan berkumpul di rumah nenek. Masa itu memang penuh rumah sebab semua ada.
“Kemudian, kami semua akan naik trak tiada bumbung untuk beraya di rumah jiran sekampung. Tak kisahlah kenal atau tak, semua beraya saja.
“Memang seronok sebab kita ramai-ramai kat atas trak, dapat rasa kemeriahannya.
“Kalau di Kuala Lumpur kan tak boleh benda macam begitu?” ujarnya cerita.
Baca versi penuh di www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM