Minta maaf, belum boleh komen – Pengurus Muaz Zabir

KAMI belum boleh bagi apa-apa kenyataan sampai diberitahu syarikat pengurusan.”

Demikian jawapan wakil pelakon baharu, Muaz Zabir yang disahkan Bella Astillah sebagai individu pernah menjalin hubungan intim dengannya.

Menurut pengurus yang hanya dikenali sebagai Helmie itu, Muaz atau nama sebenarnya Muaz Mohamad Zabir kini dalam persediaan menjayakan sebuah projek baharu.

Malah Helmie juga memohon maaf tidak dapat memberikan sebarang penjelasan lanjut biarpun diasak dengan pelbagai soalan.

Minta maaf. Memang setakat ini tiada komen,” katanya ringkas membalas kiriman WhatsApp HibGlam.

Gara-gara nama ‘dipetik’ Bella yang mendakwa mereka mula mesra sekitar Oktober tahun lalu, Muaz menjadi perhatian ramai dalam media sosial.

Tidak hairan apabila model merangkap pelakon berusia 27 tahun itu kini antara carian utama netizen dalam aplikasi TikTok yang mahu mengetahui latar belakangnya.

Begitupun, sama ada akaun TikTok mahupun Instagram, kedua-dua ruangan komen telah ditutup pemilik sejak gambar serta perbualan intim antaranya dengan ibu kepada dua anak itu tersebar.

Ditanya alasan berbuat demikian, Helmie menegaskan Muaz mahu mengelakkan salah faham.

Semalam, isteri kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz itu  membuat permohonan maaf secara terbuka atas khilaf dilakukan selain menjelaskan perihal foto mesra serta tangkap layar yang didakwa perbualannya dengan Muaz.

Pendedahan mengejutkan dilakukan wanita terbabit membuatkan laman sosial miliknya dibanjiri pelbagai reaksi netizen apabila dia juga berlaku curang seperti Aliff.

Sebelum itu, Bella mendakwa Aliff pernah mengkhianatinya sebanyak 11 kali termasuk dengan adiknya sendiri.

Terdahulu, semakan HibGlam mendapati Muaz bergandingan dengan Bella buat pertama kali menerusi drama Leha Leya Lawa.

Naskhah komedi 13 episod yang disiarkan di saluran TV3 tahun lalu itu turut membariskan adik Bella, Didi Astillah selaku teraju utama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok