NAMA meledak selepas terpalit pelbagai kontroversi, pelakon Ruhainies menzahirkan rasa syukur apabila dapat menyambut hari raya di Mekah tahun ini.
Ujar Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, peluang berpuasa dan meraikan Aidilfitri di Tanah Suci bagai mimpi jadi kenyataan
“Mimpi menjadi kenyataan. Nak Ramadan dan sambut hari raya di Tanah suci.
“Alhamdulillah. Allah sebaik-baik perancang,” ujarnya menerusi perkongsian dalam Instagram Story.
Hantaran tersebut dimuat naik semula netizen dalam platform X sekali gus mengundang respons orang ramai.
Meskipun sedang menyambut Aidilfitri, itu bukan penghalang netizen menghamburkan caci maki.
“Eloklah pergi Mekah, muhasabah diri, hati kau dah terlampau hitam sampai khianat kawan baik sendiri,” komen netizen.
“Bersihkan hati tu dulu, pusinglah 40 kali Kaabah pun kalau perangai tak berubah, patah jugak, penyondol tetap penyondol,” demikian komen seorang lagi netizen.
Sebelum ini, nama Ruhainies panas apabila dicekup Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara bersama pelakon Aliff Aziz.
Tidak lama kemudian, timbul pula spekulasi kononnya aktres itu sudah berkahwin susulan namanya didaftarkan dengan panggilan Mrs atau puan dalam satu urusan perniagaan di London, United Kingdom.
Malah dia dikatakan memiliki perniagaan NRFMEJ Beauty Ltd. yang menggabungkan namanya dan seorang individu.
Pun begitu, tuduhan tersebut hanya dakwaan netizen memandangkan tiada pengesahan perkahwinan daripada pihak berkuasa mahupun pelakon drama Terjerat itu sendiri.
Sebelum ini Ruhainies pernah berkongsi tentang kekasihnya yang dikenali sebagai Mr. E dan menetap di luar negara namun tidak pernah mendedahkan wajah jejaka tersebut. – HIBGLAM.