MESKI dikenali sebagai anak kepada pengarah terkenal Malaysia, Mia Sara Shauki tetap sahaja menghadapi ujian saat bekerja.
Sebelum ini, Mia pernah mendedahkan dirinya menjadi mangsa gangguan seksual sebanyak tiga kali ketika menjalani penggambaran di beberapa syarikat produksi.
Kejadian yang berlaku empat tahun lalu ternyata memberikan kesan terhadap mentalnya sehingga terpaksa melalui terapi selama setahun kerana mempunyai tanda-tanda gangguan stres pasca trauma (PTSD).
Namun, kini anak sulung kepada Afdlin Shauki itu semakin pulih. Dia tidak lokek berkongsi tip untuk ‘keluar’ daripada masalah tersebut.
“Alhamdulillah, sekarang saya tidak lagi bergantung pada ubat dan sudah pulih dari penyakit tersebut.
“Sebenarnya, sama ada kalian pelakon atau tidak, sebagai perempuan pasti akan berhadapan dengan gangguan orang lelaki. Bukan sahaja di tempat kerja, malah perkara ini boleh berlaku di tempat awam.
“Berdasarkan pengalaman dilalui sebelum ini, apabila sudah mencapai umur dewasa, kita pandai uruskan kehidupan sendiri dan lindungi diri daripada diganggu lagi,” katanya.
Geng Kubur
Tidak mahu berlama-lama bercakap mengenai tekanan jiwa dihadapinya, Mia, 25, terus menukar gelanggang perbualan bercerita tentang filem terbaharunya berjudul Geng Kubur terbitan Iron Hill Media Sdn. Bhd.
Dalam filem terbabit, Mia membawakan watak sebagai Melati iaitu seorang perempuan berperwatakan lasak.
Katanya, dia tiada masalah ketara sepanjang menjalani penggambaran filem ini kerana karakter tersebut sememangnya seiring dengan dirinya yang agak kasar.
“Ini merupakan filem pertama saya ditayangkan di pawagam. Sebelum ini, naskhah pertama saya hanya disiarkan melalui platform penstriman over the top (OTT).
“Filem ini bukan sahaja seram tetapi ada bahagian yang kelakar. Saya hanya menikmati sahaja setiap lakonan yang dilakonkan.
“Jadi untuk membawa watak ini tidak susah sangat sebab dekat dengan diri saya pada zaman remaja,” ujarnya.
Ditanya mengenai keserasian bersama pelakon-pelakon lain, pelakon filem Papadom itu mengakui agak kekok pada mulanya, namun rakan seperjuangan, Bella Rahim banyak menenangkan dirinya.
“Pada mulanya saya berasa janggal kerana saya seorang sahaja perempuan yang dikelilingi tiga orang lelaki.
“Namun, setelah mengambil masa dua minggu untuk bonding (suai kenal) dengan bantuan Bella Rahim, semuanya berjalan lancar,” jelasnya.
Profesional
Teman lelaki Mia iaitu Firdaus Sufiyan turut terlibat sama dalam filem Geng Kubur sebagai Firhan.
Bagaimanapun, Mia bersikap profesional semasa di set penggambaran dan hanya menumpukan tumpuan kepada skil lakonannya.
“Saya bekerja seperti biasa. Kalau kami ada pertelingkahan dalam perhubungan, saya tidak marah dan hanya bersikap profesional dalam set.
“Saya tidak mahu orang menonton Geng Kubur sebagai kehidupan peribadi saya dengan Firdaus, tetapi lihatlah hasil lakonan dari semua pelakon seperti Sasideran, Lion King dan Nadia Aqilah.
“Mereka semua berbakat dan saya bertuah kerana dapat berganding bahu dengan semua pelakon dalam filem ini,” tuturnya.
Geng Kubur mengisahkan empat sahabat yang suka melepak di tepi kubur dan kini sedang rancak ditayangkan di pawagam seluruh negara.