MESKIPUN hampir setahun berpisah dengan pengarah Syamsul Yusof, ikatan kekeluargaan yang terjalin antara pelakon Puteri Sarah Liyana dengan keluarga mentuanya masih kekal utuh.
Momen hiba itu jelas dilihat apabila Puteri Sarah masih lagi berkunjung ke rumah penerbit Datuk Yusof Haslam dan isterinya, Datin Patimah Ismail pada hari raya kedua semalam.
Membuatkan ramai sebak termasuk momen syahdu ketika Puteri Sarah dan dua anaknya, Syaikhul serta Sumayyah bersalaman dan memeluk Patimah yang dilihat sama-sama menitiskan air mata.
“Sayang mama dan papa dunia akhirat.
“Terima kasih selama ni menjaga Sarah dan anak-anak serta sayang saya seperti anak sendiri,” katanya dalam Instagram semalam.
Sementara itu, Patimah dalam hantaran berasingan berkata, hubungannya dengan Puteri Sarah tidak akan terputus selama-lamanya.
“Menantu dan besan sehingga akhir hayat kami.
“Anak tetap sayang, sokongan kami sepenuhnya untuk Puteri Sarah dan anak-anak.
“Sarah dan cucu-cucu sentiasa dalam doa mama, semoga dilindungi Allah SWT walau dimana berada,” ujarnya.
Perkongsian tersebut sekali lagi membuatkan ramai terharu selain ramai mula berteka-teki keberadaan Syamsul ketika ini yang sudah beberapa tahun tidak menyambut raya bersama keluarganya termasuk ‘hilang’ dalam media sosial.
“Kadang-kadang terfikir bagaimana tergamak Syamsul tak pulang jenguk ibu bapanya. Mungkin mereka sahaja yang tahu situasi sebenar.
“Agaknya apa kebaikan yang dilakukan Puteri Sarah sehingga dapat mentua baik begini. Sangat beruntung!” komen netizen.
Sarah sebelum ini disahkan bercerai dengan bekas suaminya, Syamsul Yusof pada 13 Jun tahun lalu. – HIBGLAM