Mawar Rashid beraya di Brunei

TIDAK seperti beberapa tahun sebelum ini, nuansa Syawal Mawar Rashid kali ini berbeza apabila sudah tiada lagi lelaki bergelar suami di sisi.

Status ibu tunggal yang disandang juga pastinya menghadirkan warna berbeza pada garis kemeriahan sambutan hari kemenangan tahun ini.

Menyulam segala emosi dari sudut positif, pemilik nama sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 30, itu tetap berasa bahagia apabila keluarganya kini dilengkapi figura seorang bapa.

Perkahwinan ibunya, Marinee Abdullah dengan seorang pegawai istana Brunei, Pengiran Penggawa Laila Bentara

Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Alauddin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Abu Bakar membawa keceriaan dalam hidup mereka sekeluarga.

MAWAR tidak sabar membuat persiapan dan membantu ibunya menyediakan juadah tradisi untuk meraikan sanak-saudara baharu di Brunei.

“Tiada apa yang perlu ditangisi. Syawal adalah hari kemenangan buat semua umat Islam di dunia.

“Bagi saya, paling penting adalah kegembiraan anak-anak. Malah, status ibu tunggal bukan alasan untuk berasa sayu kerana saya kini mempunyai ayah yang juga tempat anak-anak menumpang kasih seorang datuk.

“Jika tiada aral, saya akan membawa tiga anak saya ke Brunei untuk beraya bersama ibu saya yang kini tinggal dengan suami di Brunei,” katanya kepada HibGlam.

Menurut Mawar, perancangan tersebut sudah diatur sebaik ibunya berpindah ke Brunei pada pertengahan bulan lalu.
Sebagai anak bongsu, hubungannya dan ibu tersayang sangat akrab apatah lagi mereka sebelum ini tidak pernah berpisah lama.

Selain mengubah angin, pertama kali beraya di Brunei pasti memberi pengalaman berbeza kepada peserta Dewi Remaja 2014/2015 dan anak-anaknya.

“Sedih juga ketika mummy (panggilan untuk ibu) menyatakan mahu menetap di Brunei selepas mengikat tali perkahwinan dengan babah (panggilan bapa tiri).

“Bayangkan, saya tidak pernah berpisah jauh walaupun sudah mempunyai anak kerana dialah tempat mengadu dan bermanja.

“Jadi, hari raya ini adalah masa yang tepat untuk melepaskan kerinduan walaupun hakikatnya belum sampai sebulan kami terpisah,” ujarnya.

HIDUP solo tanpa lelaki istimewa, Mawar dan bekas suami tetap berbaik demi kebaikan anak-anak.

Menariknya, Mawar terpesona menyahut ajakan ibu beraya di Brunei disebabkan janji wanita itu menyediakan juadah kesukaaannya di sana.

“Meski harus beraya di Brunei, saya tidak kisah pun sebab ibu mahu memasak makanan Thailand seperti kari ayam Thai, lontong, roti jala, rendang ala Thai.

“Saya pula suka masak lontong ketika raya. Tidak sabar mahu sajikan kepada keluarga baharu di sana nanti,” kongsinya lagi.

Enggan mengungkit kisah lalu, isu perceraian bukan lagi topik yang menyedihkan untuk diratapi Mawar.

Akuinya, dia dan bekas suami iaitu Raf Yaakob sudah memilih jalan masing-masing, tetapi masih boleh bersahabat demi kebaikan anak-anak.

“Kita letak tepi hal peribadi, buka buku baharu. Paling penting sekarang adalah kegembiraan dan kebahagiaan permata hati kami.

“Mereka masih terlalu kecil untuk memahami situasi yang kami lalui tetapi asalkan masing-masing tahu tanggungjawab, tidak mungkin akan berlaku masalah.

“Kami sudah ‘move on’ (memandang ke hadapan). Masing-masing pun matang untuk mengawal keadaan,” jelasnya yang akan kembali rancak memenuhi undangan lakonan selepas bercuti panjang sempena Syawal.

Baca versi penuh di www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok