“PAPA dah sampai. Kakak (Anggrek) borak-borak dulu dengan papa, mommy nak masak. Salam papa.”
Itu antara dialog penyanyi, Adira Suhaimi ketika menjayakan sebuah iklan produk makanan berasaskan kambing bakar untuk sebuah jenama terkenal.
Namun, apa yang menarik perhatian apabila iklan itu turut melibatkan penampilan istimewa suaminya, Datuk Red bersama anak sulung mereka, Anggrek.
Dalam iklan tersebut, Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu berperanan sebagai bapa, yang menghantar makanan kegemaran isteri dan anaknya ke rumah untuk dimasak.
Walaupun tidak melibatkan dialog antara Adira dan suaminya, namun penglibatan kedua-dua pasangan itu menarik perhatian netizen.
Malah, apa yang membuatkan netizen sebak apabila Datuk Red memberitahu tahun ini dia tidak dapat beraya bersama anaknya kerana perlu bekerja.
“Kakak, tahun ini raya lain sikit tau. Sebab papa work (kerja). Nanti papa dan okey, papa ambil kakak dengan adik-adik bawa jalan-jalan, pergi makan.
“Kakak jaga mommy dengan adik-adik ya,” kata Datuk Red yang sempat menyambut kata sayang daripada anaknya.
Dalam ruangan komen, rata-rata netizen sebak dengan iklan tersebut, lebih-lebih lagi kerana melibatkan pasangan yang kini dalam proses mahkamah untuk bercerai.
“Kenapa air mata aku bertakung?” ujar seorang netizen.
“Sedihlah. Janganlah cerai. Kasihan dengan anak-anak. Insya-Allah, ada rezeki Datuk Red,” kata seorang lagi netizen.
“Semoga jodoh mereka berpanjangan,” ujar seorang lagi pengguna media sosial.
Untuk rekod, Adira memfailkan perceraian dengan suaminya pada 25 Oktober lalu selepas mendakwa tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinan mereka.
Permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat pada 18 Disember tahun lalu menetapkan 5 Mac ini bagi keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik Adira dan suaminya berhubung proses penceraian mereka.
Hakim Syarie, Abdul Hadi Umar menetapkan tarikh itu selepas prosiding perlantikan wakil JKP oleh Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, 42, telah selesai pada 18 Disember 2023. Dalam prosiding tersebut, Datuk Red melantik rakannya sebagai wakil JKP.
Datuk Red kemudiannya sekali lagi menarik perhatian ramai apabila mendedahkan mendedahkan ditanggung dua isteri kerana muflis pada 2019 sehingga sukar mendapat pekerjaan.
Datuk Red kemudian membuat video dalam aplikasi TikTok sebagai usaha terakhir mencari pekerjaan untuk menyara keluarga dan melangsaikan hutang.
Rayuan terbukanya meraih perhatian pelbagai syarikat yang menawarkannya pekerjaan termasuk sebagai model baju Melayu jenama terkemuka. – HIBGLAM