[VIDEO] Mak saya anggap Gayatri macam anak sendiri

SETIAP tahun dia akan beraya bersama keluarga saya, sudah menjadi sebahagian daripada kami.”

Itu kata pelakon Zul Ariffin apabila kehadiran penerbit Gayatri Su-Lin Pillai beraya dengan keluarganya saban tahun menjadi buah mulut ramai.

Menurut Zul, 38, keluarga terutama arwah ibunya, Allahyarham Robiah Nasir sudah menganggap Gayatri seperti anaknya sendiri.

Sejak dulu memang mak saya sayang dia walau macam mana sekalipun. Sudah anggap seperti anaknya sendiri.

“Sebenarnya setiap tahun ada (foto raya bersama),” katanya kepada HibGlam selepas tayangan perdana filem Sheriff di sini semalam.

Meleraikan persoalan ramai yang mendakwa Gayatri merupakan bakal isteri, dia berkata ‘hari bersejarah’ (majlis perkahwinan) yang pernah dinyatakan sebelum ini dianggap masih belum berjaya direalisasikan.

Dalam masa sama, dia hanya meminta orang ramai memberinya ruang untuk kehidupan peribadinya.

“Cerita ‘hari bersejarah’ itu sudah wujud sejak lima tahun lepas tapi tak hampir-hampir pun.

Selagi itulah saya akan beritahu apa yang orang ramai mahu dengar sebab itu bukan satu kepentingan bagi memuaskan hati masyarakat.

“Saya seorang pelakon, tidak kiralah baik atau buruk, orang pasti nak tahu tentang diri saya.

Yang saya ada saki-baki untuk diri sendiri ialah kehidupan peribadi. Jadi, bukannya tak mahu kongsi dengan orang tetapi itulah satu-satunya yang saya miliki,” jelasnya.

Dia yang popular menerusi filem Penunggang Agama turut memberi jaminan akan berkongsi tentang hari bahagianya yang dinantikan ramai sehingga kini.

Malah, dia sendiri sentiasa berdoa agar segala urusan tersebut berjalan lancar satu hari nanti dengan wanita yang tepat.

“Saya akan kongsi dengan semua kalau ada berita tentang kahwin.

Saya tak doa untuk kahwin cepat tetapi minta dipermudahkan urusan, dijauhkan daripada fitnah, sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

“Saya sudah kenal dengan ramai wanita yang ada macam-macam perangai. Saya perlu buat pilihan yang tepat dan saya ada pilihan yang tepat,” tuturnya.

Pada 1 Syawal lalu, Gayatri mengundang perhatian ramai apabila berkongsi kemeriahan berhari raya dengan Zul.

Keintiman Zul dengan Gayatri bukan lagi rahsia walaupun percintaan antara mereka yang pernah terjalin pada 2012 berakhir selepas tiga tahun.

Mereka masih akrab dengan sama-sama menghadiri pelbagai majlis, bahkan kemuncaknya Zul menghadiahkan sebuah kereta mewah kepada Gayatri dua tahun lalu.

Namun, pelakon filem Penanggal itu menepis dakwaan cinta mereka kembali bertaut biarpun mengakui wanita terbabit sebagai insan istimewa. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok