BARANGKALI hanya satu kebetulan. Ketika ramai penduduk dunia menggelengkan kepala atas kerakusan Zionis di bumi Palestin, muncul sebuah karya berjudul Testament: The Story of Moses dalam Netflix.
Karya tersebut menceritakan perjuangan tidak mengenal lelah Nabi Musa AS dalam menegakkan ajaran Allah, terutama buat kaumnya iaitu Israel yang berdepan pelbagai dugaan dan kebobrokan.
Sebagai seorang Muslim, penulis berlapang dada menonton karya berkenaan yang ‘memetik’ dalil daripada tiga agama samawi terbesar dunia iaitu Yahudi, Kristian dan Islam.
Sumber yang dipetik adalah daripada kitab-kitab suci agama tersebut iaitu Taurat, Injil dan al-Quran.
Biarpun apa yang dipaparkan dalam Testament: The Story of Moses sudah ‘difiksyenkan’, masih jelas terpampang bahawa bani Israel masih antara bangsa yang degil dan suka melakukan kehancuran sesama sendiri.
Musa A.S. merupakan nabi yang paling banyak disebut dalam al-Quran iaitu sebanyak 136 kali. Tidak dapat dipastikan bagaimana pula dalam kitab Taurat dan Injil.
Tuhan sebenar
Dalam Testament: The Story of Moses, Tuhan digambarkan sebagai Yahweh bukan Allah sepertimana kepercayaan orang Islam.
Jadi, kalau ingin menonton dan mengambil pengajaran, elak daripada percaya bulat-bulat apa yang diceritakan atau dinaratifkan dalam karya berkenaan.
The Story of Moses terbahagi kepada tiga bahagian iaitu The Prophet, The Plagues dan The Promised Land.
Naskhah berkenaan didokumentasikan dalam bentuk siri mini dengan temu bual daripada scholar atau cendekiawan Yahudi, Kristian dan Islam.
Penulis berasa kagum dengan usaha penerbit ataupun pengarah karya ini untuk menyatukan tiga agama dalam satu naratif yang sama, namun perlu diingatkan bahawa kita orang Islam wajib beriman kepada al-Quran.
Tolak tepi perihal jalan cerita yang merunsingkan, struktur teknikal The Story of Moses terkandung keindahan sinematografi dan kesan bunyi yang memberi dampak luar biasa.
Adegan ketika Musa dikejar Firaun dan para tenteranya sehingga diberi pertolongan Tuhan dengan terbelahnya Laut Merah membuatkan penulis melihat agama dari perspektif yang lebih besar.
Sebagai seorang Muslim terlintas di fikiran, Allah memberi mukjizat kepada Nabi Musa bertubi-tubi agar bani Israel beriman di jalan yang benar, namun pada akhirnya, sehingga kini mereka masih di takuk sama.
Mereka masih sukakan mengapi-apikan manusia, sukakan pergaduhan dan tiada langsung toleransi sesama sendiri sekali gus mengakibatkan apa yang berlaku di bumi Palestin sekarang.
Dengan apa yang berlaku di Gaza, Palestin, Testament: The Story of Moses tidak langsung mengubah persepsi penulis terhadap bangsa Israel yang masih ‘hidung tinggi’ sehingga ke hari ini sedangkan mereka diberi bermacam-macam peluang untuk berada di pihak yang benar. Wallahualam. – HIBGLAM