Keluar ‘sarang’, Spider sedia bertempur

MENYEBUT judulnya sahaja, Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 sudah kedengaran garang. Acara yang ditunggu-tunggu sekian lama tersebut sudah memacu adrenalin teruja ramai.

Bukan hanya dalam kalangan peminat, mahal dalam kalangan kugiran rock dan ska tanah air lain juga tidak sabar menunggu aksi kumpulan otai itu.

Memilih tanggal 22 Jun 2024, Zepp Kuala Lumpur akan menjadi saksi rendisi lagu terbaik Spider seperti Kasih Latifah, Cinta Dewa Dewi, Aladdin, Laukku Cukup Masin dan Nazraku ‘menggila’ dalam Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur.

Melihat tajuk lagunya sahaja kelincahan pemenang Anugerah Juara Lagu 2004 itu sudah dapat dibayangkan. 

Begitu juga dengan Relaku Pujuk dan lagu-lagu yang akan dipersembahkan sudah mengujakan, sementelah kugiran yang diasaskan di Johor Bahru ini bukan pemain baharu dalam belantika muzik tanah air.

Spider barangkali satu-satunya kugiran legenda tanah air yang penuh karya sinis dengan stail tersendiri.

Spider dengan album-album termasuk yang perdana, Ngam Ho dan terakhir, Ankabut yang lahir pada tahun 2016, sudah mencetak pelbagai sejarah sekali gus menjadi kugiran rujukan sepanjang hampir 30 tahun berkarier.

Justeru, Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 Jun kelak disifatkan sebagai perjalanan panjang yang layak dinikmati bersama saat mereka ‘keluar sarang’.

Selaku penganjur, pihak IFIX Entertainment juga optimis Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 akan mencipta sensasi tersendiri.

“Spider adalah kugiran legenda yang bukan hanya memberi hiburan kosong tetapi banyak maksud tersirat dalam karya mereka.

“Karya-karya yang dilahirkan Spider cukup tersendiri menjadikan mereka sebagai kugiran rujukan buat generasi masa kini yang mahu mencipta aliran muzik seumpama Spider.

“Walaupun sepanjang hampir 30 tahun, Spider hanya memiliki enam album studio penuh tetapi daripada setiap album yang terhasil, mereka punya banyak hit atau lagu popular yang diminati ramai.

“Dengan kredibiliti Spider ditambah mereka sudah lama tidak melakukan konsert sendiri, pihak kami berbesar hati membawakan Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 pada 22 Jun 2024,” ujarnya. 

Sudah sekian lama mengidamkan sebuah konsert solo,  vokalis Spider, Tam menyifatkan persetujuan bersama IFIX Entertainment dapat dicapai setelah yakin dengan konsep dan misi yang dibawa.

“Setelah banyak terlibat dengan persembahan di festival atau gig kecil usai pandemik, Spider melihat ini adalah masa yang tepat untuk kami ‘keluar sarang’.

Konsep ‘keluar sarang’ yang dicapai bersama IFIX Entertainment menjadi pertaruhan kerana peminat sedia maklum sudah cukup lama Spider tidak beraksi di pentas dalam konsert berskala besar.

“Tentu saja Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 akan menjadi medan tempur paling kecoh pernah dianjurkan,” ujar Tam.

Tiket-tiket Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur dijual pada harga RM179 sehingga RM259 yang boleh dibeli menerusi tapautix.asia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok