JIKA Tuhan berkehendakkan sesuatu perkara, lambat atau cepat, segala kejahatan pasti akan terbongkar. Hebatnya doa seorang isteri!.
Itu fahaman penyanyi juga usahawan popular, Mila Jirin berhubung kemelut kecurangan dan pendedahan skandal bersilang penjuru dalam rumah tangga penyanyi Aliff Aziz yang meledak dalam media sosial.
Menginsafi diri dan mengambil iktibar atas kekecohan berpunca daripada pendedahan wanita Singapura, Sarah Yasmine itu, Mila atau Norsyarmilla Jirin, 37 mengakui, situasi tersebut sebenarnya memberi pengajaran berguna buat dirinya.
“Bila Malaysia dikejutkan dengan cerita skandal berpenjuru selebriti terkenal, banyak yang aku belajar sebenarnya.
“Sesungguhnya Allah itu Maha Besar, sekejap sahaja dia tunjuk kepada semua.
“Jika Allah izinkan segala yang disembunyikan terbuka dan tersebar, dengan izinNya semua orang tahu. Tak perlu cari, pasti datang sendiri dengan izin Allah,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Paling utama kata pelantun lagu Aku Lebih Tahu itu, sangat penting untuk sentiasa berlaku jujur dan amanah agar mahligai perkahwinan sentiasa harmoni.
“Kepentingan jujur, amanah, berterus terang, kesetiaan dan musyawarah dalam hubungan suami isteri itu sangat diperlukan agar rumah tangga harmoni.
“Selain itu, jangan pandang rendah kehebatan doa seorang isteri. Perlu terapkan sifat yang baik dalam hubungan suami isteri,” ujarnya bermuhasabah diri.
Sejak Isnin lalu, arena hiburan tanah memanas apabila Sarah tiba-tiba menjadi watak baharu mendakwa dirinya kekasih gelap Aliff Aziz, sekali gus menyelak segala rahsia penyanyi itu dan Ruhainies.
Selain membuktikan Aliff dan Ruhainies menjalin cinta, Sarah juga mendakwa dramatis putih gebu itu menggunakan teman lelaki senegaranya untuk menjatuhkan isteri sendiri, Bella Astillah.
Pendedahan Sarah itu turut mengheret lebih ramai selebriti termasuk Caprice, Emma Maembong, Chacha Maembong serta pasangan suami isteri, Tom dan Fuad Rahman. Paling dramatik apabila nama pelakon Sophia Albarakbah kembali terkait sebagai wanita yang menyumbang keruntuhan reputasi Aliff di mata peminat.
Drama semakin meleret-meleret apabila nama pelakon Meerqeen juga dipetik selepas mengaku hanya mengenali Sarah sebagai peminat, namun wanita difahamkan ibu tunggal anak dua terbabit mengatakan hubungan mereka tidak sekadar itu. – HIBGLAM.