‘Kalau ada bukti, tunjuk di mahkamah, bukan media sosial’

PENYANYI dan komposer, Ippo Hafiz, menafikan dakwaan isterinya, Fara Roslan kononnya dia sukar dihubungi sehingga tidak dapat bertemu anak kedua mereka, Ibrahim.

Ippo atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Yaziz, 34, berkata, jika tuduhan itu benar, isterinya boleh mengemukan bukti di mahkamah.

“Saya menafikan kenyataan Fara (tidak angkat panggilan telefon).

Kalau dia ada bukti, dengan segala hormatnya dia boleh tunjukkan di mahkamah, bukan media sosial. Dia lebih tahu apa yang sebelum ini kami bincangkan.

“Bagi saya, bila banyak fitnah lebih baik kita serahkan ke mahkamah. Segala tohmahan yang berlegar di laman sosial juga serahkan kepada mahkamah dan cerita di sana,” katanya kepada HibGlam.

Ippo yang ditemani peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan ditemui semasa prosiding kedua tuntutan nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Ampang pada pukul 9:35 pagi tadi.

Menyifatkan senario dilaluinya persis dalam drama, pelantun lagu Kekal Bahagia itu turut menafikan dakwaan sudah berpindah ke kediaman berbeza apabila gagal ditemui isterinya yang mahu bertemu anak mereka.

Kita tak pindah cuma kadangkala saya ada kerja di tempat lain.

“Buat masa ini saya menikmati masa dengan Ibrahim dan dia gembira bersama saya. Ya, saya menjaga Ibrahim sendiri,” tegasnya.

Tersepit dalam kemelut rumah tangga yang dicanang dalam media sosial, bapa kepada dua anak itu memohon orang ramai mendoakan yang terbaik buat keluarganya.

“Susah saya nak cakap mengenai perkara itu, saya serahkan kepada mahkamah.

Tipulah kalau tiada perasaan sayang. Hidup berkeluarga memang kita ada perasaan sayang. Tapi apa yang boleh saya cakap, saya minta semua doakan yang baik-baik.

“Dia masih isteri saya dan saya menghormati dia, jadi lindungilah maruah suami,” jelasnya.

Sebelum ini, Fara mendedahkan tidak bertemu anak keduanya sejak Februari berikutan Ippo sukar dihubungi.

Walaupun nusyuz telah difailkan namun pihak Ippo belum menerima notis penyerahan permohonan cerai dan hadanah daripada Fara Roslan. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok