BELLA jalan terus, yakinlah Allah ada dengan awak.”
Demikian kata-kata semangat dititipkan pelakon Rita Rudaini buat Bella Astillah yang kini bergelut dengan masalah rumah tangga.
Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini Mokhtar, 47, berkata, Bella harus kuat menempuhi segala taktik kotor dilakukan segelintir pihak yang ingin menutup silap, sekali gus membuat orang lain lupa kejahatan mereka.
“Orang yang dikejar bayang-bayang ini memang akan cuba sedaya upaya buat macam-macam cerita.
Takkan habis sebab bayang-bayang itu akan kejar dia orang sampai kiamat. ‘Chill’ sahaja. Nikmati hidup awak dengan anak-anak.
“Orang macam itu memang sampai kiamat pun takkan mengaku salah, lagi nak cari jalan dan cuba cari geng untuk twist supaya orang lupa kisah mereka. Allah Maha Adil,” ujarnya menerusi hantaran dalam Instagram.
Pelakon filem Mami Jarum itu turut menasihati Bella agar terus cekal menjalani kehidupan dan bergantung sepenuhnya kepada Allah.
“Satu pesan saya, jaga amanah Allah sehabis baik.
Tak payah risau tak ada pasangan untuk jaga kita sehingga tua kerana kita ada yang lebih hebat yang sentiasa menjaga kita sampai bila-bila iaitu Allah Maha Pengasih.
“Jalan terus Bella, jangan risau luka awak Allah yang akan ubati,” nasihatnya panjang lebar.
Terdahulu, tular dalam TikTok foto mesra yang didakwa mirip Bella dan pelakon Muaz Zabir selain tangkap layar perbualan romantis mereka.
Pun begitu, rata-rata netizen berkata perkara itu sengaja dicetuskan bagi menjatuhkan reputasi Bella dan Muaz. – HIBGLAM