BERBEZA dengan kebanyakan selebriti, penerbit dan pelakon terkenal Datuk Rosyam Nor memilih tidak berkongsi peribal ibadah terutama urusan umrah bagi mengelakkan salah faham orang ramai.
Menurut Rosyam atau nama sebenarnya, Mohamed Noor Shamsuddin, 57, dia berpendapat hal berkaitan hubungan kerohanian dengan Allah SWT tidak perlu dihebahkan kepada umum.
“Memang sejak dulu lagi saya tidak memuat naik di laman sosial perkara membabitkan kehidupan peribadi terutama keluarga apatah lagi berkenaan ibadah.
“Bukan tak boleh, tapi saya lebih selesa begini kecuali perkara membabitkan perniagaan yang memerlukan saya menggunakan media sosial sebagai platform promosi.
“Ini cuma pilihan peribadi, tiada halangan kalau orang lain mahu berbuat demikian. Tidak salah pun sebab pada masa sama boleh menyemarakkan semangat orang lain,” katanya kepada HibGlam.
Rosyam bagaimanapun berkata, apabila dilantik menjadi duta syarikat travel umrah Ikhlasdotcom iaitu anak syarikat Air Asia, pendekatan dilakukannya agak berbeza.
Bertanggungjawab mempromosikan pakej umrah yang disediakan syarikat terbabit, usahawan disegani itu berkongsi pemergiannya ke tanah suci Mekah bersama 37 jemaah pada Januari lalu.
“Bersama Ikhlasdotcom saya berpeluang membawa ramai jemaah kerana syarikat terbabit menawarkan pakej umrah paling murah iaitu RM4,999 seorang.
“Insya-Allah, Disember depan saya akan bawa 365 jemaah yang menjadi rombongan tersebar sepanjang bersama Ikhlasdotcom.
“Pemergian kali ini pula bersama sekitar 100 jemaah, kami bertolak ke tanah suci 27 Mac dan dijangka tiba di tanah air pada pagi 1 Syawal,” ujarnya ketika ditemui di majlis perasmian cawangan keenam ST Rosyam Mart di Semenyih, baru-baru ini.
Bersyukur dijemput mengerjakan umrah ketika Ramadan, pelakon KL Gangster 2 itu memanjatkan doa dikurniakan kesihatan agar dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna selain berpeluang berkongsi rezeki menerusi perniagaannya. – HIBGLAM