TIADA lagi teka-teki, perkahwinan pelakon dan pengacara, Irma Hasmie bersama Redza Syah Azmeer sudah berakhir enam bulan lalu.
Berita itu disahkan rakan baik Irma iaitu Reen Emran menerusi Instagram Story yang kemudian dikongsikan pengacara serta penceramah motivasi, Amin Idris menerusi platform sama.
Bagi menjawab kepada persoalan apakah status mereka (Irma serta Redza) sekarang dan untuk mengelakkan dari terus timbul fitnah.
“Saya dengan ini mewakili sahabat saya ingin mengeluarkan kenyataan (dengan izin dia sendiri).
“Buat pengetahuan, mereka sudah sah bercerai enam bulan lepas. Dengan persoalan yang sudah terjawab, saya mohon pada semua beri ruang untuk sahabat saya,” kongsinya.
Pada hantaran sama, wanita terbabit turut memaklumkan, Irma atau nama penuhnya Irma Hasmie Ibrahim dan dua anak, Redza Syed Irfhan, 11, serta Irma Nur Naylie, 10, berada dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah dia dan anak-anak okey dan sihat saja,” katanya lagi.
Bukan itu sahaja, Reen turut mendedahkan wanita berusia 42 tahun itu bakal mengerjakan ibadah haji dalam masa terdekat
Mohon semua doakan yang baik baik buat sahabat saya. Terima kasih semua,” ujarnya.
Sebelum ini, rumah tangga Irma dan Redza menjadi perhatian selepas bekas suaminya itu berkongsi foto perkahwinan dalam Instagram.
Susulan itu, tercetus pelbagai spekulasi sehingga ramai tertanya-tanya status terkininya.
Terdahulu timbul dakwaan rumah tangga pasangan terbabit bergolak selepas Irma memuat naik status mengenai kesabaran seorang wanita, selain jarang berkongsi gambar berdua sejak Ogos 2023.
Irma dan Redza mendirikan rumah tangga pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata. – HIBGLAM