Impian gemilang Kriti Sanon

SUDAH namanya bintang Bollywood, susuk si jelita Kriti Sanon cukup dikenali sebagai aktres berbakat dan semestinya hadir dengan imej seksi penuh mempesona.

Bermula sebagai model sebelum terjun ke arena lakonan pada 2014 menerusi filem Nenokkadine, dia pantas mencipta sejarah peribadi menjulang trofi Pelakon Wanita Debut Terbaik Filmfare Award.

Satu hal yang mudah mengembalikan ingatan peminat terhadap Kriti adalah Mimi, sebuah naskhah arahan Laxman Utekar. Kriti sebagai Mimi dalam filem tersebut menjadi satu lagi tanda aras kariernya.

Menerusi Mimi, Kriti sekali lagi naik pentas Filmfare, kali ini menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik pada 2021.

Kredibilitnya sebagai seorang pelakon tidak dinafikan lagi dan kini, dia kembali mempertaruhkan karya terbaharu, The Crew arahan sutradara, Rajesh A Krishnan.

Filem berkenaan mengangkat tiga wanita sebagai watak utama yang berjuang meneruskan kehidupan sehingga terjebak dalam aktiviti penyeludupan emas.

Digalas Kareena Kapor, Tabu dan Kriti Sanon, The Crew meraih pujian ramai, termasuk rakan selebriti, Arjun Kapoor dan Karan Johar.

DALAM filem The Crew, Kriti memegang watak Divya Rana yang bekerja sebagai pramugari tetapi terjebak dengan jenayah penyeludupan emas atas desakan kewangan.

Lebih mengujakan, naskhah berkenaan menunjukkan prestasi baik selepas memecahkan Box Office selepas tiga hari tayangan dengan kutipan RM569,000.

Gandingan Kareena, Tabu dan Kriti yang memegang watak sebagai pramugari boleh dikatakan sangat cemerlang dengan aksi tersendiri.

Biarpun Kriti boleh dikatakan lebih muda berbanding Kareena dan Tabu, dia juga tidak kurang hebat memegang watak Divya Rana.

Mengulas penceritaan The Crew, Kriti turut bangga filem yang memaparkan kesukaran hidup wanita tersebut memecah stereotaip, tidak hanya penuh tangisan sebaliknya bergerak dalam acuan komedi.

Saya rasa apabila ada filem berorientasikan wanita, semua orang fikir akan menjadi serius atau bercakap tentang isu berkaitan kehidupan.

“Namun, situasi tersebut tiada dalam filem ini. Wanita juga boleh menjayakan sebuah komedi dengan baik,” katanya.

Kareena, Tabu idola

Aktes berusia 34 tahun itu juga mengungkap penghargaan buat para pelakon dan kru sepanjang penggambaran.

Baginya, penglibatan dalam The Crew sebagai pencapaian terbaharu dalam hidup kerana dapat bergandingan dengan idolanya iaitu Kareena dan Tabu.

“Filem ini mempunyai tempat di hati saya. Saya sangat mengagumi kedua-dua wanita, Kareena dan Tabu.

Ini adalah satu keseronokan dapat bekerjasama dengan pelakon yang paling ikonik dalam industri kita.

Mereka membuatkan saya tidak pernah terasa seperti junior ketika berada di set penggambaran.

“Tiga pelakon berbeza datang bersama-sama sebagai satu pasukan untuk mencipta satu keserasian,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok