Identiti ‘penyelamat’ Allahyarham Achik Spin kekal misteri

 SUDAH 14 tahun arwah Achik Spin meninggalkan kami sekeluarga. Rindu sangat.”

Demikian luahan kakak kepada Allahyarham Achik, Nurul Faizul mengenai kerinduan terhadap adiknya yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 17 April 2010.

Hantaran yang dikongsikan dalam TikTok itu turut mengimbas insiden yang meninggalkan kenangan pahit buat mereka sekeluarga.

Dalam video tersebut, kakak sulung vokalis kumpulan Spin itu menceritakan detik kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn Bhd (LEKAS).

Menurut Nurul, kenderaan dinaiki arwah dijilat api tetapi tiada kesan terbakar pada tubuhnya, bahkan mereka sekeluarga tidak mengetahui siapa individu yang menarik Achik keluar daripada keretanya.

Ya, mayat yang kami terima sempurna, tiada cacat cela, tak nampak kesan terbakar atau luka parah, tiada. Alhamdulillah.

“Cuma, kami tak tahu siapa yang selamatkan dia. Maknanya ada orang yang keluarkan dia sebelum kereta itu terbakar,” katanya.

Menerusi satu lagi hantaran dalam platform sama, Nurul turut memuat naik fotonya bersama adik-beradik lain termasuk penyanyi Tajul dan Khalis bersama dua anak Allahyarham.

Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md. Shari menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian anggota badan.

Ketika itu kumpulan Spin yang mencetuskan fenomena sejak ditubuhkan sekitar 1990-an meledak dengan lagu seperti Janji Kita, Kasih Ibu, Malam Semakin Dingin dan Mengusung Rindu.

Gandingan bersama penyanyi Siti Nordiana juga meletakkan nama mereka sebagai pasangan duet serasi dengan populariti diraih menerusi rangkaian dendangan hit termasuk Paling Comel, Memori Berkasih serta Gurauan Berkasih.

Achik meninggalkan seorang balu, H.M Rose Zaitul Suriani Wati Maarof bersama tiga cahaya mata perempuan, namun anak sulung mereka, Puteri Rania meninggal dunia pada 2007. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok