Hikmah pelan raya tak jadi Wawa, Aeril

STATUS yatim piatu sejak berusia 17 tahun membuatkan pelakon juga usahawan popular, Aeril Zafrel membesar sebagai lelaki berhati cekal.

Hanya adik-beradik menjadi tempat anak keempat daripada lima bersaudara itu menumpang kasih, selain keluarga isteri tercinta, Wawa Zainal dan empat permata hati mereka.

Pemilik nama sebenar Suhairil Sunari itu mengakui dihambat rasa sayu selepas saban tahun meraikan lebaran tanpa orang tua di sisi.

Situasi sebegitu menjadi antara alasan, hari raya baginya boleh diraikan di mana sahaja.

RAMAI adik-beradik Wawa ‘turun’ dari Sabah untuk menyambut hari raya dengan ibu mereka yang kini tinggal di Kuala Lumpur.

Syawal kali ini Aeril dan isterinya, Wawa Zainal mahu bertukar angin menyambut lebaran di Indonesia, namun hajat itu ditunda atas sebab tertentu.

“Ibu bapa saya sudah lama tiada, jadi awalnya tahun ini saya dan isteri rancang bawa anak-anak menyambut Syawal di negara jiran (Indonesia) sebab di sana pun sama meriah.

Apabila adik-beradik Wawa (dari Sabah) maklumkan mahu ‘terbang’ ke Kuala Lumpur beraya dengan mak (ibu mentua) yang tinggal bersama kami, perancangan asal terus berubah.

“Tidak mengapalah, apabila ramai-ramai dapat berkumpul tentu suasana Syawal kami tambah meriah,” katanya yang menganggap kehadiran keluarga besar isteri sebagai rezeki.

Ziarah pusara

Selain menziarah pusara orang tua serta mengunjungi rumah adik-beradiknya di kampung halaman di Rengit, mereka juga membawa keluarga dari Sabah ambil angin di sekitar Johor.

Biarpun perancangan diatur pada saat akhir, semua atur cara mengenai lokasi, logistik dan penginapan sudah perincikan dengan sempurna.

Boleh dikatakan ini percutian Syawal terbesar membabitkan keluarga di sebelah mentua memandangkan adik-beradik Wawa seramai 23 orang.

“Bukan semua dapat sertai makan angin kali ini maklumlah ada yang sudah mempunyai komitmen lain, tetapi tidak mengapa, mungkin kita dapat kelolakan lagi pada musim Aidilfitri akan datang,” ujar anak jati Batu Pahat, Johor itu.

AERIL dan Wawa bersama empat permata hati mereka.

Kongsi rezeki

Menurut pelakon yang mula membina nama menerusi drama Kisah Kaisara sekitar 2006 itu, keluarga mentuanya juga sangat teruja menunggu momen tersebut.

Sambil balik kampung dapatlah kita berkongsi kemeriahan Syawal di Johor terutama kepada anggota keluarga yang tinggal di Sabah dan tidak pernah merasa suasana hari raya di semenanjung

“Ikut perancangan memang beberapa hari juga kami di sini dengan agenda, termasuk bawa anak-anak saudara ke taman tema air,” kongsinya lagi.

Tidak melupakan tradisi tahunan, Aeril bersama Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 32, mengagihkan dulu duit raya kepada 40 kakitangan syarikat mereka.

Pekerja adalah tulang belakang. Itu sebabnya kami sentiasa ‘mencari jalan’ untuk membahagiakan mereka.

“Wawa Cosmetics dan pemberian duit raya ini sebagai tanda penghargaan kami terhadap jasa mereka mengukuhkan jenama ini,” ujarnya menoktahkan perbualan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok