“TOLONG hentikan tabiat orang Malaysia yang tidak cerdik ini.”
Itu teguran pelakon Sharnaaz Ahmad terhadap tindakan segelintir peniaga yang menjual minuman tidak sihat dan mengandungi jumlah gula tinggi sehingga memberi kesan pada kesihatan semata-mata demi mengejar viral dalam media sosial.
Lantang bersuara, Sharnaaz, 38, meminta perkara tidak sihat sebegitu dihentikan demi menjaga kesihatan diri dalam tempoh yang lama.
Kerisauan tersebut disuarakannya kerana turut memiliki sejarah keluarga yang mempunyai penyakit kencing manis.
Nasihat ini datang daripada seorang lelaki yang mempunyai sejarah keluarga memiliki penyakit diabetis,” katanya dalam InstaStory.
Pelakon filem Polis Evo 3 itu juga mengakui berang kerana sikap segelintir peniaga yang tidak memikirkan barang jualan mereka akan memberi akibat buruk terhadap kesihatan diri para pembeli.
“Aku tak marah budak meniaga tetapi berang kalau cuba nak rosakkan golongan muda yang sentiasa ‘gatal’ mahu mencuba benda baharu.
“Kandungan gula dalam itu (air minuman) boleh mematikan khinzir dan juga manusia,” katanya lagi.
Dalam masa sama, dia juga menasihatkan orang ramai agar tidak laparkan perhatian untuk menjadi viral sehingga sanggup merisikokan nyawa sendiri.
“Jangan sebab nak tular, habis rosak generasi muda kerana diabetis.
“Ada juga si benak cakap, selepas minum air manis, boleh dibilas dengan air kosong.
Kau bilaslah dengan air gunung Fujiyama sekali pun, tetap tak akan kurangkan jumlah bacaan gula (dalam badan) walau 0.01 peratus,” jelasnya.
Terdahulu, Sharnaaz memuat naik sebuah video memaparkan seorang peniaga menjual air berkarbonat dicampur dengan susu pekat dalam plastik yang diikat tepi.
Rata-rata netizen turut menyifatkan minuman sebegitu antara punca peningkatan rakyat Malaysia menghidapi penyakit kencing manis. – HIBGLAM