Hamil? Fitnah paling kelakar – Sabri Yunus

PENGARAH dan pelakon, Sabri Yunus menganggap spekulasi kehamilan isterinya sebagai fitnah yang dicetuskan secara berleluasa.

Katanya, desas-desus tidak berasas itu menjadikan hari ini paling lucu dalam hidupnya dan Angeline Tan sejak mereka bergelar suami isteri setengah tahun lalu.

“Hari paling kelakar  sepanjang enam bulan yang lalu. Hari ini viral cerita fitnah paling kelakar.

Kepada orang yg memulakan isu ini, tidakkah dia rasa bersalah kalau tak rasa berdosa pun?

“Kepada yang menyambut dan menyambung viralkan cerita ini tidakkah dia rasa yang serupa?” tulisnya dalam hantaran di Facebook.

Aktivis seni berusia 63 tahun itu bersuara selepas spekulasi mengenai kehamilan teman hidupnya terus diperkatakan sehingga mengundang tanda tanya insan terdekat.

Bukan apa, puas nak menjawab kawan yang bertanya mahu pengesahan (khabar angin) .

“Ada kawan kata ‘tak mengapa, benda baik’.  Saya kata yang tak baik itu fitnah. Fitnah tak mungkin baik,” ujarnya.

Sebelum ini sebuah blog memuat naik berita mendakwa Angeline atau Ardini, 57, kini hamil dengan usia kandungan memasuki satu bulan.

Susulan itu, ruangan komen perkongsian tersebut meraih ucapan tahniah daripada netizen.

Begitupun,  pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu menafikan dakwaan tersebut selain menegaskan tidak tahu daripada mana khabar angin itu tercetus.

Sabri dan Angeline mendirikan rumah tangga di Perlis pada 13 Oktober tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok