PERNAH menyuarakan hasrat mahu menamatkan zaman bujang selewat-lewatnya akhir tahun ini, aktor berbadan kekar, Zul Ariffin kemudian membuat pusingan-U, mendakwa respons tersebut sekadar memenuhi jangkaan yang dimahukan peminat.
Ungkapnya, biarpun hajat ke arah mendirikan rumah tangga sudah beberapa disuarakan, perkara seumpama itu terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada khalayak.
Memahami sebagai pelakon setiap inci pergerakan menjadi perhatian ditambah usia menginjak angka 38, pemilik nama lengkap Zulkifli Ariffin itu masih mahu menyimpan sedikit hal privasi.
Baginya, tidak semua perincian kisah di sebalik layar perlu didedahkan kepada umum atau dicanangkan untuk pengetahuan semua.
“Sebenarnya cerita fasal ‘hari bersejarah’ itu sudah wujud sejak lima tahun lepas tapi tak ‘hampir-hampir’ pun.
Selagi itulah saya akan beritahu apa yang orang ramai mahu dengar sebab itu satu kepentingan bagi memuaskan hati masyarakat.
“Saya seorang pelakon, tidak kiralah baik atau buruk, orang pasti nak tahu, cuma bukan tak mahu kongsi hal personal, tetapi itulah satu-satunya yang saya miliki,” katanya kepada HibGlam.
Enggan berterusan membongkar hal peribadi, perbualan menjurus ke arah projek baharu yang menuntut komitmen jitu.
Filem lakonannya, Sheriff yang bakal berada di pawagam sejak 18 April memerlukan Zul mengikuti jadual promosi ke beberapa lokasi, sekali gus kembali memenuhkan jadual hariannya.
“Filem arahan Syafiq Yusof ini sudah ditayangkan. Jadi, cuti raya saya kali ini pendek sahaja, tidak mengapalah sebab memang saya teruja menunggu naskhah ini.
Selepas ini saya akan sibuk memenuhi jadual promosi bersama pasukan Skop Production dan Astro Shaw ke beberapa destinasi di seluruh tanah air.
“Kisah garapan mengenai petugas keselamatan negara yang berdepan pelbagai cabaran itu hakikatnya menuntut semangat tinggi seluruh pasukan,” tambahnya.
Wajah aktor yang terjun ke arena lakonan sekitar tahun 2018 itu juga tampak teruja apabila bercerita mengenai naskhah aksi berkenaan.
Tambah Zul, Sheriff banyak menonjolkan adegan mendebarkan dan lasak terutama letupan kenderaan yang besar iaitu bas pekerja.
“Kena tonton filem ini kerana banyak elemen lasak, aksi dan kemanusiaan yang ditampilkan.
Saya pasti Sheriff tidak mengecewakan kerana sentuhan Syafiq memang terbaik, begitu juga dengan teman gandingan saya yang lain.
“Datuk Aaron Aziz menjadi antagonis, manakala pelakon lain Syafiq Kyle, Azira Syafinaz, Elizabeth Tan pun hebat,” katanya.
Berharap naskhah tersebut mendapat sokongan, tambahan semua masih dalam ‘mood’ raya, Zul percaya penonton akan memenuhi pawagam demi Sheriff.
“Secara peribadi saya menyukai plot Sheriff yang mempunyai kelebihan bukan sahaja naratif, malah perwatakan setiap karakter. Semua watak ada tarikan yang membuatkan penonton melekat,” tutupnya.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM