Buat pertama kali kami sekeluarga beraya di Kuala Lumpur tahun ini. “
Itu perkongsian pelakon Farid Kamil yang memaklumkan dia dan isteri, Diana Danielle memilih menyambut Aidilfitri di ibu kota.
Menurut Farid, 42, sambutan lebaran keluarganya kali ini pasti berbeza kerana tidak pulang ke kampung halaman di Kedah yang menjadi rutin mereka selama ini.
Alhamdulillah, anak-anak okey beraya di mana pun.
“Kalau ikut perancangan, keluarga termasuk ibu bapa saya akan berkumpul di Kuala Lumpur,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Dia bagaimanapun mengakui beraya di bandar adalah perkara baharu buat dirinya dan keluarga.
“Sebenarnya ini suasana dan pengalaman baharu buat kami.
Tidak mengapalah, raya tetap raya dan paling penting dapat bercuti serta luangkan masa bersama keluarga,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Diana pula sambutan Aidilfitri adalah detik kemenangan umat Islam selepas sebulan menjalani ibadah puasa.
Bahkan, momen paling dinanti-nantikan ialah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama anak-anaknya, Muhammad dan Aurora.
Momen paling saya suka pada hari raya ialah bawa anak-anak ke masjid untuk solat sunat Aidilfitri.
“Pagi raya adalah momen paling saya nanti-nantikan. Itulah detik paling manis untuk raikan perjuangan 30 hari berpuasa,” kongsi aktres berusia 34 tahun itu.
Dia yang popular menerusi drama Raisya berkata, lebaran kali ini disambut secara sederhana.
“Kami sekeluarga kalau beraya biasa-biasa sahaja. Kalau nampak sedondon pun, hanya atas tuntutan media sosial selepas melihat ramai berpakaian sedondon.
“Saya dan Farid sibuk dengan penggambaran filem Baran dan kurang masa untuk bincang soal hari raya. Apa yang penting kami sudah sempurnakan tuntutan wajib iaitu berpuasa.
“Lagipun, seluruh dunia berduka dengan pergolakan di Gaza. Lebih baik kita bersederhana, tak perlu berlebih-lebih sangat dan bersyukur dengan apa yang dimiliki,” katanya lagi. – HIBGLAM