BARANGKALI sudah puas berperang dengan emosi dan air mata memikirkan tentang rezeki zuriat, kini pelakon Siti Elizad lebih tenang. Dia reda atas ketentuan yang telah ditetapkan Allah SWT apabila bercakap soal cahaya mata.
Bukan kerana sudah berputus asa untuk terus berikhtiar memiliki keturunan, namun selepas 10 tahun menanti, tempoh tersebut sudah cukup membuatkan Elizad percaya soal rezeki, tidak semua kehendak akan berpihak kepada seseorang.
Sebagai wanita, Elizad atau nama lengkapnya Siti Elizad Mohd. Sharifuddin mengakui adakala melalui fasa emosi yang turun naik, apabila melihat perkongsian rakan-rakan terdekat tentang anak dalam media sosial.
Bagaimanapun, pelakon berusia 39 tahun itu sebenarnya tumpang gembira dengan rezeki kawan-kawan. Dia sentiasa berfikiran positif demi menjaga kesihatan mental.
Kalau ikutkan sekarang saya sudah masuk ‘musim’ reda tentang cahaya mata. Tapi sebagai wanita, kadang-kadang perasaan itu tak menentu. Kalau hari ini saya kata okey, esok lain pula.
“Bila tengok kawan-kawan kongsi kehamilan mereka dalam media sosial, perasaan itu datang balik. Media sosial kadang-kadang ‘nakal’ juga. Agak mencabar (emosi) juga sebenarnya.
Kadang-kadang, bila tengok kawan-kawan kongsi anak mereka comel-comel, saya akan bayangkan wajah anak saya jika diberikan rezeki,” jelas sambil tersenyum.
Melanjutkan bicara, pelakon tinggi lampai itu berkata, ada ketika dia kasihankan rakan-rakannya apabila terpaksa menyembunyikan kehamilan masing-masing untuk menjaga hatinya.
“Saya sebenarnya okey dan tumpang gembira dengan rezeki kawan-kawan. Tapi, pada masa sama rasa kasihan juga sebab kadang-kadang mereka terpaksa sembunyikan kehamilan untuk menjaga hati saya.
“ sejujurnya, saya okey. Sebab saya percaya, Allah SWT tidak akan beri semua rezeki-Nya pada kita.
“Mungkin saya dapat keistimewaan lain dan terima sahaja,” jelasnya.
Dalam fasa reda, Elizad dan suami, Shamsul Baharin Rahman tetap berikhtiar selagi mampu, walaupun telah menjelajah ke seluruh pelusuk negara dan menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) IVF, sebanyak dua kali.
Kata ayah, selagi boleh ikhtiar, cubalah lagi. Sekarang pun saya masih lagi mencuba. Tapi tidaklah macam dulu.
“Kalau sebelum ini, akhir bulan mesti saya akan periksa sama ada hamil atau tidak.
“Tapi sekarang tidak. Apa-apa pun, saya bersyukur diberikan seorang suami yang prihatin serta adik beradik yang sentiasa memberi semangat,” katanya yang belum terfikir untuk mengambil anak angkat sebagai jalan akhir melengkapi kehidupan rumah tangga.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM