Elizabeth Tan keguguran Februari lalu

HASRAT penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan menimang cahaya mata pertama masih belum kesampaian apabila mengalami keguguran sekitar Februari lalu.

Menurut Elizabeth atau mesra disapa Lizzy, episod sedih dalam hidupnya itu berlaku ketika kandungan berusia enam hingga tujuh minggu.

Sebenarnya saya mengalami keguguran dua bulan lalu, jadi sekarang saya masih mencuba (hamil). Saya mengalami pendarahan dan doktor mengesahkan bayi sudah tiada.

“Mulanya rasa okey berhadapan situasi itu tetapi baru-baru ini saya sedar boleh boleh melupakannya.

Saya tak tahu berapa lama lagi perlu menunggu untuk hamil lagi,” katanya.

Penyanyi lagu Knock Knock itu turut mengakui kejadian itu meninggalkan impak kepada dirinya dan suami kerana sudah lima bulan berusaha mendapatkan zuriat.

Meskipun begitu, dia dan suami tidak akan pernah berputus asa berusaha menimang cahaya mata sendiri.

Perkara ini memang beri impak sebab perlu berdepan dengan kehilangan. Saya pun sudah umumkan kepada keluarga dan temat rapat saya tetapi gugur pula. Memang menyedihkan tapi saya tidak berputus asa.

“Ketika tahu saya hamil, saya fikir hidup akan berubah tetapi tiba-tiba tak jadi. Kalau terlalu banyak bercakap tentang hal ini, saya akan menangis,” katanya lagi.

Terdahulu, Lizzy mendirikan rumah tangga dengan Siew Jim pada 21 Mac 2021 dan pernah beberapa kali menyuarakan hasrat untuk hamil tahun lalu.

Menyentuh perihal karier, Lizzy bakal muncul dengan filem Sheriff: Narko Integriti arahan Syafiq Yusof.

Selain Lizzy, naskhah hebat ini turut dibintangi Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Amir Nafis, Kodi Rasheed dan ramai lagi.

Filem aksi thriller terbitan Skop Productions dan Astro Shaw itu akan menemui penonton di pawagam seluruh negara dan Singapura bermula 18 April (esok). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok