DALAM fikirannya, dia belum cukup hebat untuk diangkat sebagai seorang pelakon biarpun sudah banyak meminjamkan aura dalam beberapa naskhah berskala Box Office sebelum ini.
Itu yang berulang-kali terbutir dari bibir si tinggi lampai, Elizabeth Tan tatkala mula bercerita tentang perjalanan seninya sebagai pelakon.
Sudah hampir sedekad memahat nama sebagai pelakon, sebetulnya masih terlalu banyak kerisauan yang menyelubungi diri pelakon yang bermula di pentas nyanyian itu.
Bahkan, sehingga hari ini dia masih membandingkan kualiti lakonan yang diberikan dengan aktor dan aktres gandingan.
Perkara itu masih dirasainya termasuk selepas membarisi filem pecah panggung, Sheriff: Narko Integriti.
Elizabeth atau mudahnya disapa Lizzie itu tidak dapat menahan sebak saat membuka mulut berkongsi kerisauannya.
“Terlalu kecil dan kerdil saya lihat diri sendiri apabila berada sebaris dengan nama-nama besar dalam filem ini.
Banyak kerisauan menyelubungi fikiran saya, termasuk komen netizen yang begitu mengganggu.
“Sebelum ini netizen pernah cakap lakonan saya nampak dibuat-buat tak nampak semula jadi. Benda itu buat saya sedih dan beri impak kepada emosi setiap kali nak berlakon,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya mengapa hatinya terlalu rapuh setiap kali berkongsi perihal lakonan, wanita berusia 31 tahun itu berkata, semuanya begitu menikam jiwa kerana kemampuannya sebagai bintang filem pernah diperlekehkan.
“Saya terasa dan adakah orang anggap saya tak boleh berlakon?
Sejujur bila saya tengok lakonan sendiri, rasa ‘cringe’ tetapi realitinya saya sudah banyak belajar untuk menjadi lebih baik setiap hari.
“Mungkin belum rezeki untuk benar-benar menyerlah,” katanya lagi.
Dedah pelantun lagu Knock Knock itu, tawaran lakonan yang diterimanya juga tidak ‘selebat’ seperti sangkaan ramai.
“Saya bermula dalam industri sebagai seorang penyanyi dan sedar masih belum cukup hebat seperti Ernie Zakri atau Aina Abdul.
“Sebenarnya saya tak dapat banyak tawaran berlakon pun, selalunya memang bersama Skop Production.
“Apa pun saya tetap bersyukur dengan semua rezeki diraih hari ini terutama dengan kehadiran suami dan keluarga yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan karier seni,” tuturnya yang mempamerkan lakonan cemerlang sebagai ASP Jennifer Wong dalam filem Sheriff.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan. – HIGBLAM