Dahsyat! Ribuan peminat ‘beraya’ dengan Shah Rukh Khan

BAGAI konsert mega, perkarangan kediaman mewah Shah Rukh Khan di Mannat, Mumbai dibanjiri ribuan peminat pelakon tersohor Bollywood itu pada 1 Syawal lalu.

Senario biasa setiap kali Syawal, Deepavali dan ulang tahun aktor kesayangan ramai itu, namun saban tahun jumlah yang datang semakin bertambah, sekali gus memerlukan pasukan keselamatan menggandakan pemantauan.

Mengerti harapan pengikut tegar, Shah Rukh Khan yang menggayakan persalinan serba putih muncul di balkoni banglo enam tingkat itu sambil melambai ke arah peminat.

Sorakan bergema di segenap kawasan sebaik kelibat bintang filem Pathaan itu tampil dengan senyuman menguntum di bibir, sekali gus menggamatkan suasana.

Bukan hanya melambaikan tangan, ikon industri perfileman India itu turut memanjat pagar balkoni supaya peminat yang berada di bahagian belakang dapat melihatnya.

Walaupun hanya dapat beraya dengan idola untuk beberapa minit, kesungguhan Shah Rukh Khan melayani orang ramai yang berhimpun beberapa jam sebelum itu tetap dihargai peminat.

Turut berkongsi momen dalam Instagram yang mempunyai 46 juta pengikut, video tersebut tular di pelbagai platform media sosial lain apabila dikongsikan pula peminat.

Terdahulu, dalam hantaran tersebut, bapa kepada tiga cahaya mata itu mengucapkan salam Aidilfitri kepada semua yang meraikan hari raya.

“Eid Mubarak semua. Terima kasih kerana membuatkan hari saya lebih bermakna.

“Semoga Allah rahmati kita semua dengan cinta, kebahagiaan dan kesejahteraan,” tulis aktor berusia 59 tahun itu.

Difahamkan, selepas 1 Syawal masih ada yang ‘berkampung’ di situ dengan harapan dapat bertemunya sehingga terpaksa disuraikan pihak berkuasa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok